Tiada asas ADUN Jeram nak tukar tempat duduk: Speaker DUN

Laporan Sinar Online berhubung permohonan Mohd Shaid untuk menukar tempat duduk bersama pembangkang pada sidang DUN akan datang. (Gambar kecil: Ng Suee Lim)
Laporan Sinar Online berhubung permohonan Mohd Shaid untuk menukar tempat duduk bersama pembangkang pada sidang DUN akan datang. (Gambar kecil: Ng Suee Lim)
A
A
A

SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim menjelaskan pihaknya akan menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli untuk menukar tempat duduk bersama blok pembangkang dalam sesi persidangan awal November ini.

Menurutnya, permohonan Mohd Shaid tidak berasas berikutan beliau masih ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan komponen kepada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Mohd Shaid juga tidak mengeluarkan sebarang surat atau pengumuman bagi menjadi ADUN bebas di negeri ini.

"Oleh sebab itulah saya melihat tiada asas bagi permohonan ini dan saya akan membalas surat penolakan tersebut dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, Mohd Shaid memaklumkan pihaknya telah menghantar permohonan kepada Suee Lim sebagai tanda protes terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu yang tidak menghormati kepimpinan tertinggi PH.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Bersatu mohon duduk bersama pembangkang dalam sidang DUN

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, perbalahan antara Mohd Shaid dan Ronnie adalah melibatkan isu politik dan DUN Selangor tidak sewajarnya diheret sama dalam pertelingkahan tersebut.

"Tak seharusnya isu politik dikaitkan dengan DUN Selangor malah cara permohonan beliau ini saya lihat masih kurang matang dalam mengendalikan isu sedemikian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Mohd Shaid sewajarnya mempunyai tanggungjawab bagi memelihara DUN Selangor yang menjadi badan penggubal undang-undang di negeri ini.