Kenderaan DBKL kena khianat ketika operasi premis pelacuran

Kenderaan rasmi DBKL yang rosak akibat perbuatan khianat sekumpulan lelaki. - Foto ihsan DBKL
Cermin belakang dipecahkan sekumpulan individu. - Foto ihsan DBKL
Kenderaan rasmi DBKL yang rosak akibat perbuatan khianat sekumpulan lelaki. - Foto ihsan DBKL Cermin belakang dipecahkan sekumpulan individu. - Foto ihsan DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah kenderaan rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalami kerosakan akibat perbuatan khianat sekumpulan lelaki ketika pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melakukan operasi tindakan khas di premis rumah urut dan pelacuran malam semalam.

Ketika kejadian, anggota bertugas melakukan operasi di dua lokasi berasingan sekitar Bandar Baru Sri Petaling.

Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, dalam operasi itu, kumpulan lelaki terbabit memecahkan cermin bahagian depan, cermin belakang serta cermin sisi sebelah kiri kenderaan itu.

Menurutnya, sebelum itu terdapat cubaan sogokan wang tunai dianggarkan sejumlah RM10,000 oleh pemilik premis terhadap pegawai DBKL untuk tidak meneruskan tindakan penguatkuasaan.

Namun katanya cubaan sogokan kepada sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa dari Cawangan Penguatkuasaan Premis, Jabatan Penguatkuasaan DBKL tidak berjaya.

"Tindakan penguatkuasaan ini melibatkan penutupan premis dan rampasan 23 unit pelbagai peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral ini.

"Kenderaan rasmi DBKL dikhianat ketika pasukan penguatkuasa sedang dalam proses mendokumentasi barangan dan peralatan disita," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, satu laporan polis dibuat sejurus selesai proses dokumentasi di Stor Sitaan DBKL untuk tindakan selanjutnya dari pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan rujukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

Osman berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu pihak PDRM dan SPRM berkaitan kes tersebut.

Katanya, pihaknya akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa tanpa kompromi dari mana-mana pihak berkepentingan.