Pahang pertimbang jumlah bonus kepada penjawat awam

Wan Rosdy (empat dari kiri) dan Salehuddin (tiga dari kanan) sempena pelancaran aplikasi PahangGo di Dewan Majlis Perbandaran Bentong hari ini.
Wan Rosdy (empat dari kiri) dan Salehuddin (tiga dari kanan) sempena pelancaran aplikasi PahangGo di Dewan Majlis Perbandaran Bentong hari ini.
A
A
A

BENTONG - Kerajaan Pahang akan mempertimbangkan jumlah pemberian bonus terhadap 11,000 penjawat awam di negeri ini sama ada jumlahnya sama atau lebih berbanding sebelumnya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut bagaimanapun akan diagihkan berdasarkan kemampuan dan kedudukan semasa kewangan negeri yang akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan Pahang 2020.

"Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pemberian RM500 untuk menghadapi tahun baru.

"Jadi, kerajaan negeri sedang memikirkan sekiranya kedudukan kewangan mencukupi kita akan bagi sama ataupun lebih sedikit, namun ia bergantung kepada kewangan negeri," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapan sempena Majlis Ramah Mesra bersama Penjawat Awam di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dan barisan Exco kerajaan negeri serta pemimpin setempat.

Dalam majlis sama, turut berlangsung pelancaran aplikasi PahangGo sebagai salah satu usaha kerajaan negeri menawarkan kemudahan terkini buat rakyat di Pahang.

Mengulas pelancaran aplikasi tersebut, Wan Rosdy berkata, ia juga memberikan pilihan kepada rakyat dalam sebarang urusan berkaitan perkhidmatan ditawarkan pihak kerajaan dan swasta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri optimis terhadap penggunaan aplikasi tersebut berdasarkan maklum balas positif dan pertanyaan daripada pelbagai pihak.

"Malah selepas beberapa minit dilancar, sudah ada 300 pengguna menggunakan aplikasi ini dan kita yakin kewujudan aplikasi ini sedikit sebanyak meningkatkan pendapatan kerajaan negeri," ujarnya.

Aplikasi dwibahasa percuma tersebut adalah mobil pertama di Malaysia yang mempunyai fungsi perkhidmatan setempat meliputi perkhidmatan kerajaan dan swasta yang dibangunkan oleh syarikat milik kerajaan negeri khusus untuk rakyat di negeri ini.

Bagi tempoh tiga bulan pertama pelancaran antara perkhidmatan yang ditawarkan 'semak dan bayar' untuk cukai taksiran, tanah dan pembayaran kompaun, pembayaran bil utiliti dan telefon, pembelian tiket bas, pembayaran yuran pengajian serta pembaharuan cukai jalan serta insurans kenderaan.

Pada fasa seterusnya, aplikasi berkenaan akan memberikan fokus untuk mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan melalui Marketplace 'PahangPride'.