Filem tempatan: Apa pilihan penonton?

No Image Caption
A
A
A

Penerbitan filem bukan bertujuan untuk hiburan semata-mata tetapi mengangkat aspek sosial, seni, budaya dan mesej dalam sesebuah naskhah.

Tahun demi tahun, kita melihat penggiat seni berusaha menghasilkan filem yang bukan sahaja kreatif tetapi menarik minat penonton ke pawagam.Bahkan, filem-filem berbentuk komersial sering menjadi pilihan dengan pelbagai genre popular meliputi aksi, komedi, romantik dan seram.

Tidak hanya bergantung kepada jalan cerita semata-mata, pelakon popular dan berbakat sering menjadi pilihan untuk menerajui sesebuah naskhah itu sehingga mendapat kutipan puluhan juta ringgit.

Jika diimbau semula, semenjak tahun 2012 ramai penerbit mula berani menghasilkan pelbagai genre filem dengan peningkatan mendadak penghasilan 70 buah filem berbanding 49 buah filem pada tahun 2011.

Senario itu terus meningkat sehingga mendorong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil inisiatif membuat tayangan dua buah filem setiap minggu bagi mengelakkan kelewatan tayangan filem tempatan.

Biarpun situasi tersebut dilihat sebagai satu perkembangan positif buat industri seni tempatan, namun tidak semua filem yang ditayangkan mendapat pulangan pecah panggung.

Jika dilihat data yang dikongsikan di laman web Finas daripada tahun 2011 sehingga September 2019, hanya 15 buah filem daripada lebih 400 buah filem yang ditayangkan berjaya mencatat kutipan lebih RM10 juta.

Sehingga kini, filem arahan Syamsul Yusof iaitu Munafik 2 yang ditayangkan pada tahun 2018 menduduki tangga pertama carta 50 filem mendapat kutipan tinggi dengan RM37.74 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan positif itu, masih ada segelintir pembikin filem yang memperjuangkan seni dalam karya tapi gagal mendapat kutipan yang memberangsangkan.

Namun naskhah-naskhah sebegini mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada negara-negara luar.

Antara filem tersebut adalah Bunohan, One Two Jaga, Interchange, Lelaki Harapan Dunia (Man Who Save The World), Terbaik Dari Langit dan Fly By Night.Filem-filem yang disenaraikan itu mendapat pujian daripada pengkritik filem antarabangsa dan ditayangkan di beberapa festival filem luar negara.

Kenapa gagal?

Ada juga filem yang mendapat pujian daripada media dan penonton seperti Suatu Ketika dan Tiada Tajuk tetapi gagal untuk menarik perhatian penonton ke pawagam.

Justeru timbul persoalan, apakah pilihan penonton kualiti atau populariti sesebuah filem tersebut?

Bagi pengarah filem Suatu Ketika, Prakash Murugiah yang pernah ditemu bual Sinar Harian berkata: “Saya tidak menyalahkan penonton biarpun Suatu Ketika hanya mengutip hampir RM200,000 berbanding kos filem terbabit sebanyak RM3 juta.

“Kesilapan juga mungkin berpunca daripada pihak saya sendiri yang tidak dapat memperuntukkan lebih banyak dana untuk promosi,” katanya.

Sementara itu, seniwati, penyanyi dan pengarah, Fauziah Datuk Ahmad Daud mengakui promosi memainkan peranan penting pada sesebuah filem.

Apatah lagi, penerbit tidak boleh bergantung hanya pada kekuatan para pelakon atau filem itu sendiri tetapi harus mempunyai bajet yang cukup untuk tujuan pemasaran.

“Saya ambil contoh filem luar negara, The Blair Witch Project, filem tersebut mempertaruhkan pelakon baharu dengan rakaman yang dibuat dengan teknik rakaman bergerak sahaja atau melalui kamera kecil.

“Filem tersebut berjaya mendapat kutipan pecah panggung dan tercalon di festival filem. Bagi saya kejayaannya kerana pemasaran yang bagus.

“Pada pandangan saya, sekiranya pembikin filem tempatan percaya mereka punya karya yang bagus, ambil langkah berani bawa filem itu ke luar negara dan tidak bergantung kepada sambutan komuniti tempatan.

“Apatah lagi masyarakat kita sejak dahulu ada mindset bahawa filem tempatan tidak berkualiti atau berbaloi ditonton dan boleh ditonton di kaca TV sahaja nanti,” ujarnya.

Jawapan Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy Ahmad Daud itu ada benarnya kerana ada juga karya yang tidak mempertaruhkan pelakon terkenal seperti The Journey, Ola Bola dan The Kid From Big Apple masih mendapat kutipan pecah panggung biarpun tanpa pelakon terkenal.

Kepada penerbit, jika anda bersedia untuk melabur wang dalam pembikinan filem, maka bersedia juga untuk melabur bagi tujuan promosi dan pemasaran.

Manfaatkan juga teknologi di hujung jari dalam tujuan promosi kerana sebagus mana pun filem anda tetapi jika tidak diketahui umum, mungkin ia akan menjadi naskhah yang dipandang sepi di layar lebar.