'Najib terkejut wang RM42 juta masuk akaun peribadi hanya drama'

Najib --Foto Bernama
Najib --Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Reaksi Datuk Seri Najib Tun Razak yang terkejut apabila mengetahui wang berjumlah RM42 juta dimasukkan ke akaun peribadinya hanyalah satu ‘drama’, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk V.Sithambaram menyifatkan reaksi bekas perdana menteri itu sebagai berdrama kerana beliau tidak mengambil sebarang tindakan perundangan berhubung perkara itu.

Sithambaram berhujah demikian berhubung keterangan saksi pendakwaan ke-37, Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan saksi pendakwaan ke-49, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling bahawa Najib ‘terkejut’ apabila diberitahu seseorang telah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya.

"Tertuduh, jika beliau tidak bersalah berhubung wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaunnya ini, sepatutnya telah menyaman pihak bank kerana telah mendepositkan wang yang menyalahi undang-undang, memungkinkan akaunnya telah digunakan untuk pengubahan wang haram.

“Rasa terkejut yang dialami tertuduh selepas mengetahui wang RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadinya secara salah, sepatutnya diterjemah dengan membuat laporan polis untuk memperlihatkan kemarahannya terhadap wang yang bukan dalam pengetahuannya itu.

"Tidak ada perdana menteri yang tidak mahu membuat laporan polis jika mengetahui mengenai transaksi itu,” katanya dalam hujahan di akhir kes pendakwaan.

Sithambaran berkata, kegagalan Najib untuk mengambil sebarang tindakan mudah berhubung kemasukan wang itu, memperlihatkan beliau tidak bersalah, adalah tidak benar.

“Oleh itu, tindakan tertuduh itu adalah luar biasa bagi seseorang yang akaunnya mungkin telah digunakan untuk kegiatan jenayah, melainkan tertuduh menyedari jenayah itu dan takut sebarang laporan polis akan mendedahkan kesalahannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

“Apabila wang masuk ke dalam akaun, semua berasa gembira. Hari ini menakjubkan, Yang Arif, begitu banyak drama di dalam mahkamah ini...tetapi apabila wang dimasukkan ke dalam akaun, tiada tindakan diambil, semua gembira sehingga perbicaraan bermula,” katanya.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan dua hari bermula hari ini untuk hujahan kes pendakwaan.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. - Bernama