Tommy dapat kebenaran mulakan prosiding komital terhadap Lokman Adam

Lokman dan Tommy
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas hari ini memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana didakwa mengugut seorang saksi, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding komital, yang difailkan oleh Peguam Negara terhadap Lokman yang dinamakan sebagai responden.

"Pemohon hendaklah memfailkan notis usul berhubung prosiding menghina mahkamah dalam masa 14 hari bermula hari ini," kata Hakim Sequerah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Peguam Negara berkata, jelas terdapat percubaan untuk mengganggu pentadbiran keadilan oleh responden pada peringkat prima facie.

"Kami berhujah bahawa alasan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding komital telah dipenuhi disebabkan percubaan jelas oleh Lokman untuk mengganggu dalam melaksanakan keadilan," kata Sri Ram.

Sri Ram berhujah bahawa responden bukan sahaja membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi tetapi juga mengadakan temu bual melalui video apabila dia didakwa menyerang integriti Peguam Negara.

Pada 10 Oktober, Peguam Negara memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap Lokman kerana perbuatannya sebanyak dua kali pada 25 September yang menghina mahkamah.

Lokman tidak hadir di mahkamah kerana ini adalah aplikasi ex-parte (sebelah pihak) dan mahkamah mendengar penghujahan dari pihak Peguam Negara.

Dalam permohonan itu, Peguam Negara memohon perintah supaya responden dipenjarakan atau didenda kerana menghina pada 25 September.

Peguam Negara berkata, pada tarikh itu (25 September) responden dalam temu bual video menuturkan perkataan yang berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Amhari Efendi yang merupakan pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi keterangan terhadap dituduh dalam perbicaraan kes pendakwa raya lawan Najib di Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara berkata, responden bertindak menyiarkan rakaman video pada perbicaraan mendengar permohonan bagi kebenaran dan pada perbicaraan usul substantif jika permohonan tersebut dibenarkan.

Beliau berkata pada hari yang sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pendakwaan berkenaan keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib yang sedang berjalan.

"Objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh pada perbicaraan," kata Peguam Negara.

Beliau berkata, perbuatan intimidasi terhadap saksi merupakan gangguan terhadap pelaksanaan keadilan dan oleh itu, ia adalah perbuatan menghina mahkamah yang serius. - Bernama