ADUN Pembangkang di Kedah pertikai peruntukan

Muhammad Sanusi (tengah) dan Suraya (dua dari kanan) pada sidang media selepas Sidang DUN Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Muhammad Sanusi (tengah) dan Suraya (dua dari kanan) pada sidang media selepas Sidang DUN Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pembangkang Kedah mempertikaikan jumlah peruntukan mengurus dan pembangunan dalam bentuk pemberian dan projek dibentangkan dalam Belanjawan Kedah 2020.

Ketua Pembangkang Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas peruntukan sebanyak RM70,000 yang diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang.

Bagaimanapun beliau yang juga ADUN Jeneri berkata, peruntukan diberikan bukanlah dalam bentuk wang tunai tetapi untuk bekalan, bantuan dan projek kecil di kawasan masing-masing.

"Kami berterima kasih atas peruntukan, namun begitu peruntukan diberikan untuk menyediakan projek kecil yang mana perlu dibuat permohonan terlebih dahulu.

"Selepas itu, wang peruntukan terbabit akan disalurkan ke pejabat daerah bukannya, malah bukan dalam bentuk tunai," katanya pada sidang media pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Malah Muhammad Sanusi berkata, pihaknya turut terkejut apabila sejumlah RM150,000 peruntukan diberikan kepada setiap penyelaras DUN dalam Belanjawan Kedah 2020 itu.

Beliau berkata, pihaknya tertanya-tanya mengapa penyelaras DUN menerima peruntukan berkenaan sedangkan pelantikan mereka hanya lantikan politik sahaja.

"Mereka dilantik untuk mengendalikan urusan di peringkat DUN bagi pihak kerajaan sahaja, namun apakah mereka sudah menjadi entiti rasmi sehingga boleh mengendalikan peruntukan sehingga RM150,000,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata, kira-kira RM1.6 juta peruntukan diberikan kepada setiap Exco juga dipersoalkan.

Menurutnya, beliau tidak mempertikaikan jumlah peruntukan diberikan kepada setiap Exco, sebaliknya mempersoalkan pengurangan peruntukan untuk sektor lain dan cara bajet dibuat.

"Sebagai contohnya, peruntukan lebih RM2 juta untuk veterinar dikurangkan bajet berbanding RM7 juta sebelum ini, sedangkan pengurangan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, susulan itu, beliau menyifatkan Belanjawan Kedah 2020 yang dibentangkan dalam Sidang DUN Kedah Ke-14 pada Ahad lepas sebagai tidak matang.

Suraya berkata, belanjawan terbabit dirasakan tidak matang memandangkan ia dibuat terlalu awal sedangkan Dewan Rakyat masih berlangsung.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan peruntukan RM1.6 juta untuk setiap Exco diikuti RM200,000 (setiap ADUN Kerajaan), RM150,000 (setiap penyelaras DUN) dan RM70,000 untuk setiap ADUN Pembangkang.