15 minit dari Pontian ke Johor Bahru

Mohd Solihan ( dua dari kanan) meninjau tapak projek jambatan merentasi Sungai Pulai di sini.
Mohd Solihan ( dua dari kanan) meninjau tapak projek jambatan merentasi Sungai Pulai di sini.
A
A
A

PONTIAN - Penduduk Pontian akan mempunyai akses lebih mudah untuk ke Johor Bahru apabila pembinaan jambatan merentasi Sungai Pulai dari Pelabuhan Tanjung Pelapas (PTP) ke Tanjung Bin siap sepenuhnya pada 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, projek bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri itu menelan kos sebanyak RM673 juta.

Katanya, pembinaan tiga jambatan dan jalan sepanjang 7.5 kilometer itu kini telah siap sebanyak 20 peratus dan pembinaan disifatkan kompleks kerana merangkumi sebahagian besar kawasan berpaya.

"Projek itu yang meliputi sebahagian besar kawasan berpaya untuk diubah suai sebagai jalan berbanding menggunakan tanah yang rata disifatkan satu projek yang kompleks dan mengambil masa panjang untuk dilaksanakan.

"Setakat ini projek sudah siap 20 peratus mengikut jadual. Sebahagian besar kawasan projek merupakan kawasan berpaya justeru ia memakan masa untuk dilaksanakan

"Kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan projek yang dilaksanakan bagi memastikan ia mengikut jadual dan tidak mengganggu ekosistem alam semula jadi hutan berpaya di sini," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan tapak pembinaan jambatan merentasi Sungai Pulai di sini semalam.

Mohd Solihan Badri berkata, kaedah moden dan mematuhi ketetapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) digunakan pihak kontraktor dalam melaksanakan projek terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Sewaktu lawatan saya lihat tiada kesan kepada air sungai. Kita sedar kawasan di sini masih diliputi hutan paya bakau.

"Kerajaan negeri sangat menjaga kesan projek ini kepada alam sekitar. Kontraktor diingatkan tidak mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar,” katanya.

Dengan adanya laluan baharu berkenaan, ia juga akan memendekkan perjalanan penduduk ke Johor Bahru iaitu daripada 51 minit kepada 15 minit sahaja.