X

Kindly register in order to view this article
!

Rasanya tak balik dah, kata mangsa disambar petir

Zamri (kanan) ketika turun menziarahi Zarina (tiga dari kiri) dan keluarganya di Kampung Hujung Alor, Alor Setar.
A
A

ALOR SETAR - "Ishhh...nak hujan kelam ni, macam mana kita nak balik, perasan (rasanya) tak balik dah."

Itu kata terakhir Allahyarham Norhafizan Salleh, 36, sebelum keluar dari rumahnya untuk ke Masjid Taman Uda, dekat sini bagi menunaikan solat Jumaat kira-kira lebih jam 1 petang, pada Jumaat lalu.

Mangsa ditemui meninggal dunia di tepi sawah padi dipercayai disambar petir dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Hujung Alor manakala anak keduanya, Mohd Haziq, 7, turut cedera dan pengsan disebabkan kejadian tersebut.

Isteri mangsa, Zarina Sulaiman, 36, berkata, itu kata-kata terakhir suaminya yang didengarinya semasa Allahyarham bercakap dengan Mohd Haziq sebelum mereka keluar ke masjid dengan menaiki motosikal.

"Allahyarham tidak menunjukkan apa-apa perubahan cuma dia tidak menjamah nasi selama tiga hari berturut-turut sebelum kejadian.

"Sebelum kejadian berlaku memang saya tidak rasa apa-apa yang pelik dan kejadian itu hanya diketahui selepas ada orang kampung datang memberitahu Allahyarham sudah tiada kira-kira jam 2.30 petang," katanya yang bertugas sebagai guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di Taman Uda, Jalan Sultanah, Alor Setar dekat sini.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusof di rumahnya semalam.

Mengulas mengenai anaknya pula, Mohd Haziq kini sudah mula sedar dan sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (Kebakaran), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi memantau keadaan dan kesan daripada tragedi tersebut.

"Saya reda dengan ujian ini dan berharap Mohd Haziq cepat sembuh. Keadaannya sudah stabil cuma kesan melecur di pipi dan juga kaki kanannya agak teruk.

"Masa kejadian itu, memang bunyi petir sangat kuat dan saya yang berada di rumah ini juga merasainya, namun tidak menyangka anak saya cedera dan kehilangan suami dalam kejadian ini," katanya yang masih mempunyai dua orang lagi anak bersama Allahyarham iaitu Nurul Huda, 9, dan Nurul Hazirah, 5.

Sementara itu, Zamri menyampaikan sumbangan daripada Pejabat DUN Suka Menanti untuk kepada keluarga itu berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bagi meringankan beban Zarina dan tiga anaknya.

"Yapeim bersetuju untuk membantu memberi sumbangan kepada setiap anak arwah yang masih kecil selama 12 bulan dalam usaha untuk menstabilkan keadaan keluarga ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!