Lelaki maki polis ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tempatan ditahan selepas memberontak dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis di Balai Polis Pandan Indah, Ampang, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pada dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, suspek berusia 42 tahun pada mulanya ditahan bersama wanita warga asing ketika sepasukan anggota polis melakukan tugas rondaan cegah jenayah di Jalan Persiaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah.

”Sepasukan anggota polis yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan itu ternampak seorang lelaki dan perempuan warga asing dalam kereta jenis Proton Persona warna hitam dalam keadaan mencurigakan.

"Pengadu bersama saksi polis telah menahan kedua-duanya dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa polis dan melakukan pemeriksaan butir-butir diri," katanya.

Beliau berkata, kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk siasatan lanjut namun apabila sampai di balai lelaki berkenaan secara tiba-tiba telah meninggikan suara dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang bertugas.

Noor Azmi berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif.

"Suspek akan didakwa di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 di Mahkamah Ampang Jaya esok dan sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 atau hukuman penjara maksimum selama enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: