Isa Samad minta RM3 juta daripada GAPSB

Mohd Isa (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta berhubung pembelian MPHS di Kuching, Sarawak. - Foto Bernama
Mohd Isa (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta berhubung pembelian MPHS di Kuching, Sarawak. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad meminta suapan RM3 juta daripada Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPSH) bernilai RM160 juta bagi tujuan kerja-kerja politiknya.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah GAPSB, Ikhwan Zaidel, 59, berkata, suapan itu diminta Mohd Isa melalui pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arif.

“Zahid ada maklumkan kepada saya bahawa Tan Sri (Mohd Isa) ialah orang politik. Beliau perlukan dana bagi kerja-kerja politik tersebut.

“Tan Sri yang disebutkan oleh beliau merujuk kepada Mohd Isa kerana Zahid Md Arif ialah Pegawai Khas beliau,“ kata saksi pendakwaan ke-16 itu pada perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah Mohd Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ikhwan berkata, Muhammad Zahid tidak memaklumkan jumlah yang diperlukan dan akan menghubunginya untuk mendapatkan jawapan berhubung permintaan itu selain akur untuk memenuhi permintaan Mohd Isa.

“Kami risau dengan keputusan dan pengaruh Tan Sri Isa sekiranya kami tidak memenuhi permintaan itu, kemungkinan beliau akan melengahkan pembayaran kepada GAPSB atau membatalkan urus niaga pembelian MPHS.

“Maka, setelah mengambil kira harga jualan MPHS yang berjumlah RM160 juta dan harga minimum dipersetujui ahli lembaga pengarah GAPSB adalah RM150 juta, kami bersetuju untuk memenuhi permintaan Tan Sri Isa dengan cara membayar RM10 juta kepada JV Evolution Sdn Bhd (ejen hartanah GAPS),” katanya.

Ikhwan berkata, sekitar Jun 2014 iaitu sebelum Perjanjian Jual Beli ditandatangani GAPSB dan FICSB, menghubungi Muhammad Zahid untuk memaklumkan pihaknya dengan Ahli Lembaga Pengarah GAPS, Ibrahim Baki akur akan permintaan Mohd Isa itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya kemudian berjumpa Muhammad Zahid untuk memaklumkan bahawa Ibrahim tiada pilihan serta akur untuk memberi setakat RM3 juta sahaja atas tujuan political fund.

"Pemberian RM3 juta kepada Tan Sri Isa melalui Muhammad Zahid tidak dimaklumkan kepada ALP GAPSB dan hanya saya serta Ibrahim sahaja yang tahu.

"Saya turut maklumkan bayaran kepada Tan Sri Isa melalui Muhammad Zahid dibuat apabila pihak FICSB mula membuat bayaran kepada GAPSB selepas pembelian MPHS," katanya.

Ikhwan berkata, pada awal Julai 2014, Muhammad Zahid menghubunginya dan meminta agar dapat berikan wang pendahuluan berjumlah RM100,000 kepada Mohd Isa.

"Ketika itu, GAPSB belum lagi terima bayaran daripada FICSB dan pihak GAPSB belum membayar komisen RM1 juta kepada JVESB. Saya beritahu Muhammad Zahid, saya akan usahakan mendapatkan dana tersebut," katanya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung Khamis. - Bernama