Polis siasat poster tular fitnah Teresa Kok dilantik Pengerusi Felda

Gambar tular atas pelantikan baharu sebagai Pengerusi Felda. - Gambar Astro AWANI
Gambar tular atas pelantikan baharu sebagai Pengerusi Felda. - Gambar Astro AWANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menerima laporan daripada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung fitnah berkaitan pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang tular di media sosial, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, laporan dibuat oleh ahli parlimen berumur 59 tahun itu.

"Menerusi laporan polis tersebut, mangsa mendakwa melihat satu poster memaparkan ucapan tahniah di atas pelantikannya sebagai Pengerusi Felda.

"Kejadian disedari semasa mangsa berada di pejabatnya yang terletak di Desa Enterprineurs Park Off Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, mangsa mendapati poster tersebut tular di beberapa medium media sosial.

"Mangsa terpaksa menambah perkataan palsu dalam poster yang tular ini dan berkongsi di media sosial untuk penafian.

"Siasatan awal mendapati hantaran palsu ini berasal daripada sebuah laman Facebook milik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati poster tersebut adalah palsu dan tidak benar.

"Ini berdasarkan pengesahan oleh pihak Felda sendiri yang menyatakan bahawa tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan pelantikan Pengerusi FELDA yang baru setakat ini.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya.