X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan heret institusi mufti dalam politik kepartian

Saarani Mohamad dan Razman Zakaria
A
A

IPOH - UMNO dan Pas Perak hari ini menyelar tindakan Exco Perak, Asmuni Awi yang secara terbuka memanggil Timbalan Mufti, Zamri Hashim bagi memberi penjelasan berhubung isu penganjuran Kempen Beli Produk Muslim Dahulu (BMF) di negeri ini.

Dalam satu kenyataan bersama Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, tindakan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan itu seolah- olah mencabar kedudukan dan merendah-rendahkan kewibawaan institusi mufti.

"Walaupun pertemuan itu dibatalkan, tetapi arahan awal exco berkenaan membuktikan ada cubaan kerajaan negeri untuk melibatkan institusi mufti ke arah politik kepartian.

"Cubaan ini adalah usaha untuk campur tangan dan ianya mesti dihentikan segera," katanya.

UMNO dan Pas turut mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak untuk tidak membuat tuduhan melulu terhadap Jabatan Mufti hingga mengheret institusi itu ke kancah politik kepartian.

Jelasnya, berbeza dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang diselia Exco Agama, Jabatan Mufti adalah di bawah bidang kuasa Sultan Perak.

"Harus diingat, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu kenyataan pada 10 September lalu sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kempen ini yang mana ia mestilah dihormati oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri.

"UMNO dan Pas yakin majoriti rakyat Perak akan bersama-sama dalam mempertahankan integriti dan kemuliaan institusi mufti daripada sebarang cubaan untuk melemah atau mencabar kedudukan Islam," kata kenyataan itu.

Sabtu lalu, Asmuni dipetik berkata, bahawa kerajaan Perak melarang penganjuran kempen BMF dalam kawasan masjid selepas perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Ia susulan pelancaran Buy Muslim First (BMF) di masjid-masjid negeri ini yang turut melibatkan Jabatan Mufti Perak.