Dua lelaki dicekup tak sampai 2 jam samun pengurus kilang

gbg
gbg
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pengurus kilang berdepan dengan detik mencemaskan selepas dia disamun dua lelaki dalam kejadian di Taman Sejahtera Alma di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa yang berusia 57 tahun sedang tidur di dalam kenderaan yang diletakkan di tepi jalan sebelum dua lelaki datang mengetuk tingkap.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dua lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai anggota polis yang kononnya mahu melakukan pemeriksaan terhadap mangsa.

Menurutnya, sebaik tingkap kereta diturunkan salah seorang suspek kemudiannya bertindak menumbuk pipi mangsa dan mengacukan parang ke arahnya.

"Selepas mengambil dompet di tangan pengadu serta telefon bimbit yang disimpan dalam poket mangsa, kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian selepas wang tunai bernilai RM450, dokumen pengenalan diri dan beberapa kad bank dilarikan suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua suspek berkenaan dapat diberkas polis tidak sampai dua jam selepas mereka melakukan jenayah berkenaan selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Machang Bubok.

Katanya,sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Machang Bubok bertindak menahan kedua-dua suspek sebelum berjaya menemui semula barang milik mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketika pemeriksaan dibuat, polis turut menemui sebilah parang panjang dan pisau daripada kedua-dua suspek berkenaan.

"Semakan dibuat mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau dan salah seorang berusia 24 tahun mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk empat kesalahan dadah.

"Kedua-dua suspek berkenaan kini direman untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,"katanya.