GPMS kesal keputusan UM

Asri Abu Zarin
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Universiti Malaya (UM) tidak mengenakan sebarang tindakan disiplin terhadap Wong Yan Ke yang melakukan protes pada majlis konvokesyen universiti itu baru-baru ini dilihat seolah-olah bersetuju dengan sikap biadab graduan berkenaan.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Asri Abu Zarin berkata, pihaknya kesal dengan keputusan pengurusan tertinggi UM kerana graduan terbabit sepatutnya dikenakan hukuman setimpal.

“Ia seolah-olah menunjukkan budaya kebiadaban boleh diraikan dan dibenarkan atas nama kebebasan bersuara walaupun dilakukan pada majlis rasmi dan penuh istiadat seperti majlis konvokesyen,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Asri berkata, keputusan itu juga seperti memberi ruang kepada lebih ramai lagi graduan untuk melakukan tindakan sama.

Sementara itu, Asri turut membandingkan tindakan yang sama pernah dikenakan terhadap graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang digantung sijil diplomanya gara-gara berswafoto di atas pentas konvokesyen pada 2015.

“Salah tetap salah tetapi kalau diikutkan perbuatan Yan Ke jauh lebih biadab. Perbuatannya menunjukkan dia tidak mengamalkan prinsip Rukun Negara yang menekankan kesopanan dan kesusilaan.

"Adakah ini ciri-ciri belia Malaysia Baharu yang kononnya melaungkan bangsa Malaysia,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahu Yan Ke membuat permohonan maaf secara terbuka kepada UM, alumni dan orang awam.

Kelmarin, Yan Ke mengambil sijil graduasinya sehari selepas UM mengeluarkan kenyataan tidak akan menarik balik ijazah graduan kejuruteraan awam tersebut.