X

Kindly register in order to view this article
!

Koperasi pemangkin ekonomi

A
A

RABU lalu, Tun Dr Daim Zainuddin, Tan Sri Johan Jaaffar dan saya dengan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) melawat beberapa tempat di pulau legenda itu.

Tujuan pokoknya adalah untuk meninjau kalau-kalau kami boleh bantu melakukan sesuatu di pulau itu pada Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) menjelang tidak sampai tiga bulan lagi.

Ada orang kata, persiapan dan kempen memperkenalkan TMM2020 lemah dan tidak memadai kerana kepimpinan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kurang kreatif. Jadi kami cubalah tolong kalau boleh.

Sekiranya diizinkan, kami bercadang mengadakan Minggu Kebudayaan dan Kesenian di pulau yang penuh misteri itu.

Sebenarnya, banyak kegiatan seharian penduduk Langkawi yang boleh dijadikan produk pelancongan sekali gus menjana sumber pendapatan tambahan.

Sebagai budak kampung dan anak penanam padi, saya amat berminat dengan projek padi pulut yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lawatan kami ke projek tersebut meyakinkan saya bahawa dari sudut sains tidak ada masalah besar untuk menjadikan Langkawi jelapang pulut negara.

Ujian yang dilakukan oleh agensi-agensi Kementerian Pertanian, khususnya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) amat menggalakkan.

Saya biasa dengan penanaman padi pulut kerana dulu memang setiap keluarga memperuntukkan sebidang dua sawah untuk ditanam padi pulut.

Padi pulut, bagaimanapun, mengambil masa yang panjang untuk masak iaitu kira-kira 30 hari lebih lama daripada padi biasa.Di negeri Kedah khususnya, penanaman padi pulut berhenti secara automatik apabila tanaman padi dua kali setahun diperkenalkan pada awal tahun 1970-an dengan siapnya rancangan pengairan Muda (MADA).

Sejak itu, difahamkan oleh pegawai-pegawai yang memberi taklimat kepada kami, boleh dikatakan 100 peratus keperluan beras pulut diimport.

Projek padi pulut Langkawi dilancarkan pada Ogos lalu apabila Dr Mahathir meminta Kementerian Pertanian mencadangkan satu projek baharu yang sesuai dilaksanakan di Langkawi.

Bagi saya, yang menjadi persoalan adalah kelestarian projek. Selalunya projek pertanian seperti itu khasnya dan rancangan luar bandar amnya gagal atau tidak lestari kerana sikap golongan sasar.Jadi, saya setuju dengan usaha melibatkan petani dan tuan tanah daripada awal supaya mereka tahu dan berasa mereka ialah sebahagian daripada usaha tersebut. Saya yakin sistem koperasi yang dicadangkan adalah lebih baik daripada pemilikan individu. Perkongsian menjimatkan kos dan memudahkan pemasaran.Bagi kebanyakan penduduk desa, khususnya golongan yang berusia, konsep permuafakatan koperasi adalah perkara biasa.

Kalau kita berpatah balik 40 atau 50 tahun lalu, boleh dikatakan setiap kampung dan mukim ada koperasi sendiri yang dikenali sebagai syarikat kerjasama.

Untuk satu tempoh yang lama, gerakan koperasi menjadi tulang belakang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar sehingga untuk mendirikan rumah tangga pun mereka pinjam daripada syarikat kerjasama.Gerakan koperasi mula luntur dan akhirnya ditolak oleh orang ramai apabila parti-parti politik mula menggunakannya untuk tujuan politik serta dalam proses itu menipu ahli.

Boleh dikatakan semua parti politik ada koperasi sendiri yang akhir menipu ahli menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit.

Jadi saya harap, koperasi penanam padi pulut Langkawi yang dicadangkan itu dilaksanakan secara profesional dan digunakan bagi memperluaskan kegiatan ekonomi desa supaya berdaya maju dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan dan subsidi.

Boleh jadi melalui gerakan koperasi, petani dan peniaga luar bandar boleh diajar mengenai penyimpanan kira-kira supaya tidak bankrap kerana termakan modal.

Wallahuaklam.

***Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!