'Jangan lihat pada tiga minit, ambil mesej tersirat cuba disampaikan'

A
A
A

SHAH ALAM - Mustahil untuk mandi tiga minit tapi elok lihat maksud tersirat di sebaliknya, kata Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Menurutnya, beliau melihat saranan pakar gaya hidup lestari, Datuk Seri Dr Zaini Ujang untuk mandi tidak lebih tiga minit sebagai satu perumpamaan bagi menyampaikan mesej agar semua pihak bijak dalam usaha yang dilakukan bagi menyelamatkan alam sekitar.

"Saya sokong niatnya untuk menjaga alam sekitar tapi tidak logik untuk kita mandi tiga minit kerana setiap orang keperluannya berbeza-beza....Tak mungkin orang yang bekerja di ladang, kebun atau buruh nak mandi tiga minit semata-mata untuk jimat air dan jaga alam sekitar. Sudah tentu mereka perlu lebih masa dan lebih air untuk membersihkan badan.

"Jadi sebaik-baiknya kita melihat kepada mesej tersirat yang beliau nak sampaikan iaitu bagaimana memastikan air yang digunakan tidak membazir. Contohnya ketika bersabun jangan biar air terpasang, tutup pili dan buka semula apabila hendak mandi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu, Zaini memberi saranan untuk mandi tidak lebih daripada tiga minit kerana tempoh itu bersamaan dengan 10 liter air dan secara tidak langsung melibatkan penggunaan lebih banyak air.

Katanya, jika lebih banyak air digunakan, semakin banyak pokok terpaksa ditebang untuk menampung air, semakin banyak arus elektrik digunakan untuk mengalirkan air ke loji tetapi jika penggunaan air sedikit penghasilan gas berkurangan.

Dalam pada itu, Meor Razak berkata, terdapat kaedah lain yang boleh dilakukan bagi menggalakkan penjagaan alam sekitar seperti memperbanyak hebahan menerusi radio dan televisyen.

Katanya, masyarakat Malaysia mudah lupa dan hanya tersedar apabila berlaku bencana.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu kebanyakan penduduk di Malaysia akan dengar radio apabila memandu dan menonton televisyen walau di mana sahaja termasuk di kedai makan.

"Selitkan melalui iklan-iklan di kedua-dua medium itu....Jika di akhbar ia juga boleh diuar-uarkan malah di media sosial juga boleh dihebahkan namun ia dilihat kurang berkesan kerana jika hantaran dibuat di Facebook biasanya hanya pencinta alam sekitar, sahabat dalam kelompok sama dan ahli keluarga yang melihat hantaran itu tetapi tidak kepada mereka yang berada di luar lingkungan kumpulan yang berkempen tentang penjagaan alam sekitar," katanya.

Katanya, didikan menerusi televisyen dan radio dilihat lebih memberi impak tetapi perlu dipersembahkan dalam gaya kreatif agar dapat menarik minat serta menggerakkan kesedaran di kalangan masyarakat," katanya.