Rangka draf peraturan tangani sisa elektrik, elektronik

Khalid (kanan) bersama Yeo Bee Yin merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2019 di Taman Pudu Ulu, Cheras hari ini. -Foto Bernama
Khalid (kanan) bersama Yeo Bee Yin merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2019 di Taman Pudu Ulu, Cheras hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan peralatan atau gajet elektrik dan elektronik yang terus meningkat bermakna sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang perlu dilupuskan atau dikitar semula juga akan meningkat.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, bagi menangani masalah ini kerajaan sedang merangka draf peraturan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste).

“Sekarang ramai tak tahu peti sejuk, bateri, telefon bimbit nak dibuang di mana dan kita buang sekali dengan sisa lain kerana tiada pusat pembuangan yang khas. Jadi ia mencemarkan alam sekitar, sebab itu kita mahu adakan peraturan e-waste ini yang mana ia penyelesaian jangka panjang dan lebih teratur termasuk kutipan, cara kitar semula dan membantu dari segi ekonomi.

“Draf ini sudah pun di peringkat akhir (peringkat kementerian) sebelum disampaikan Jabatan Peguam Negara. Bagaimanapun butiran mengenai peraturan itu akan dijelaskan kemudian, kita akan umumkan secepat mungkin bagi memberi peluang kepada orang ramai menyemak dan memahaminya,” kata beliau kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2019 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.