Isu roboh gerai: Aziz Bari ingatkan MBI ikut cara lebih berhemah

Abdul Aziz meninjau tapak gerai yang dirobohkan.
Abdul Aziz meninjau tapak gerai yang dirobohkan.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari kesal dengan tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menjalankan kerja-kerja meroboh gerai di kawasannya tanpa pengetahuan beliau selaku wakil rakyat.

Menurutnya, keadaan itu telah menimbulkan salah faham sesetengah pihak yang menyalahkan kerajaan dan wakil rakyat kononnya tidak membela nasib penduduk di situ.

"Tindakan MBI ini saya rasa aneh kerana tiada satu notis pun disalurkan ke pejabat saya, selaku Exco kerajaan negeri dan ADUN di sini, saya hanya dimaklumkan apabila tindakan meroboh diputuskan dan bukan sebelum itu.

"MBI sebagai sebuah agensi kerajaan sepatutnya menghormati kedudukan pejabat saya bukan mengambil tindakan seolah-olah kami tidak wujud, kena fikir dari banyak sudut dan jangan main langgar saja," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Kerja meroboh gerai termasuk kedai makan di sekitar Jalan Pengkalan Barat 32, Station 18 pada 16 Oktober lalu telah menyebabkan peniaga-peniaga kecil di situ kerugian hampir RM70,000.

Ia dilakukan atas alasan gerai-gerai di situ dibina di atas tanah rizab kerajaan.

Kerja meroboh gerai dilakukan MBI di sekitar Jalan Pengkalan Barat 23, Station 18 pada 16 Oktober lalu telah menyebabkan peniaga-peniaga kecil di situ kerugian hampir RM70,000.
Kerja meroboh gerai dilakukan MBI di sekitar Jalan Pengkalan Barat 23, Station 18 pada 16 Oktober lalu telah menyebabkan peniaga-peniaga kecil di situ kerugian hampir RM70,000.

Abdul Aziz mengakui, tindakan meroboh itu dilakukan berdasarkan undang-undang namun ia boleh dilaksanakan dengan cara lebih berhemah apatah lagi peniaga mengadu tidak menerima sebarang notis daripada PBT itu.

Artikel Berkaitan:

"Matlamat utama di sini untuk meminta peniaga keluar dari kawasan yang tidak dibenarkan berniaga dan bukan bermotifkan penindasan.

"Mereka (peniaga) pun sama sekali tidak menentang atau mempertikai tindakan MBI, cuma memohon kelonggaran agar mereka dapat merobohkan sendiri gerai.

"Tetapi apabila MBI guna mesin, habis batu besi, kayu dan wayar tercabut ketika mereka sedang menyediakan barang jualan dan menyebabkan pelanggan lari, ini tak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan aduan rasmi berkaitan isu itu kepada MBI dan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Ipoh dalam masa terdekat ini.

"Bukan niat saya untuk menghalang atau melangkau tugas PBT (pihak berkuasa tempatan) tetapi apabila dimaklumkan lebih awal, saya boleh mengadakan perbincangan dan membantu peniaga mencari penyelesaian terbaik," katanya.

Terdahulu Abdul Aziz mengadakan pertemuan bersama 21 peniaga di kawasan Station 18.

Dalam pertemuan itu, beliau menggesa kumpulan peniaga berkenaan menubuhkan kesatuan bagi memudahkan perbincangan bersama kerajaan.

"Kita telah pun mengenalpasti beberapa kawasan yang sesuai untuk dijadikan tapak perniagaan, kita akan lihat perkara ini termasuk menyediakan kemudahan lain dengan lebih lengkap," katanya.