Universiti ada kuasa ambil tindakan ke atas graduan biadab

Rakaman video yang ditularkan pada 14 Oktober lalu menunjukkan Wong Yan Ke, 23, membawa plakad ke dalam Dewan Tuanku Canselor UM bagi mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan. Gambar kecil: Tengku Haphiz
Rakaman video yang ditularkan pada 14 Oktober lalu menunjukkan Wong Yan Ke, 23, membawa plakad ke dalam Dewan Tuanku Canselor UM bagi mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan. Gambar kecil: Tengku Haphiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pihak universiti berkuasa mengambil tindakan ke atas graduan biadab yang menimbulkan kekecohan ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-59, Isnin lalu.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, tindakan itu wajar diambil memandangkan mahasiswa berkenaan bukan sahaja bertindak memalukan Naib Canselor universiti ketika istiadat rasmi itu, malah cuba menaikkan sentimen perkauman masyarakat Cina.

“Saya lihat perkara (tindakan memalukan) itu telah dirancang secara rapi lebih awal. Sebagai pelajar, apa yang dilakukan itu amat tidak wajar kerana hari konvokesyen ialah hari penghargaan pihak universiti kepada para pelajar yang akan bergelar graduan.

“Tindakan pelajar itu lebih kepada mahu menaikkan kemarahan masyarakat Cina kepada Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai tindakan terhadap pelajar itu, Tengku Haphiz berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada badan disiplin universiti untuk bersidang dan memutuskan apa yang sewajarnya diambil berhubung isu itu.

“Semua pihak termasuk ahli politik tidak wajar mempengaruhi atau mencampuri sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak universiti,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Haphiz berkata, dakwaan pelajar berkenaan bahawa NC universiti itu, Datuk Abdul Rahim menggunakan nama universiti bagi politik kaum ketika Kongres Maruah Melayu (KMM) baru-baru ini adalah tidak benar.

“KMM yang objektifnya menaikkan maruah rakyat Malaysia telah dipolitikkan oleh pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Artikel Berkaitan:

‘Saya lihat sendiri setiap kertas kerja yang dibentangkan dalam kongres itu, tiada langsung yang disentuh terhadap isu perkauman. Kongres itu memiliki objektif yang jelas.

“Saya hairan mengapa setelah menjadi kerajaan, DAP masih lagi mahu mengapi-apikan sentimen perkauman,” katanya.

Terdahulu, sebuah rakaman video ditularkan pada 14 Oktober lalu menunjukkan Wong Yan Ke, 23, membawa plakad ke dalam Dewan Tuanku Canselor UM bagi mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan.

Pelajar itu dilihat melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’, ‘Undur VC’ dan ‘Ini Tanah Malaysia’ sebaik menerima skrol ijazahnya.