Ambil tindakan pegawai Suhakam, salah guna kuasa - G25

Suhakam
Suhakam
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) menggesa kerajaan mengambil bahagian dalam mengenakan tindakan terhadap pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang melakukan diskriminasi kaum dan salah guna kuasa di agensi berkenaan.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, G25 mahu aduan berkaitan masalah tersebut disiasat dan diselesaikan dengan cara adil dan saksama.

“Perkara itu perlu dilakukan segera supaya Suhakam dapat menjalankan fungsinya untuk memajukan dan melindungi hak asasi manusia secara terhormat dalam persekitaran kondusif dan mengikut cara ia direka bentuk, tanpa ada apa-apa gangguan.

“Kami juga ambil perhatian bahawa agensi berkenaan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa penyiasatan dalaman akan dijalankan oleh badan bebas bagi memastikan bukti yang teliti, saksama dan adil mengikut amalan terbaik,” kata kenyataan itu.

Pada 16 Jun lalu, media tempatan melaporkan Pengerusi Suhakam, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad akan menarik balik saman fitnah yang difailkannya terhadap kakitangannya pada bulan lalu.

Dalam kenyataan tersebut, Suhakam berkata saman itu digugurkan bagi memudahkan siasatan dalaman bebas yang tidak melibatkan mana-mana anggota suruhanjaya itu.

Mengulas lanjut, G25 memberitahu bahawa pihaknya tidak jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan penyiasatan dalaman.

“Kami berpandangan penyiasatan tersebut bukanlah langkah sesuai untuk diambil, jika perkara yang dimaksudkan dengan dalaman merujuk kepada siasatan oleh Suhakam sendiri.

“Hal ini kerana, penyiasatan oleh agensi tersebut terhadap pengerusinya tidak akan dilihat bebas oleh orang ramai,” jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, G25 turut menyokong cadangan Suaram yang meminta Rahmat untuk mengambil cuti sementara menunggu siasatan selesai.