X

Kindly register in order to view this article
!

KPWKM sasar tubuh lebih 150 taska di tempat kerja: Hannah Yeoh

Hannah Yeoh (duduk, tengah) melihat album gambar bangunan lama Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sebelum diubah suai menjadi pusat asuhan pada majlis perasmiannya hari ini. -Foto Bernama
A
A

MELAKA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan penubuhan lebih 150 taman asuhan kanak-kanak (taska) lagi di tempat kerja sektor awam menjelang akhir tahun depan.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, fokus penubuhan taska itu melibatkan sektor badan beruniform termasuk jururawat, polis dan guru bagi menggalakkan wanita dari golongan itu terus bekerja dan memberi kemudahan dalam aspek penjagaan anak yang lebih terjamin.

"Peruntukan tiga kali ganda dalam Belanjawan 2020 mampu mengembangkan lagi industri pendidikan awal untuk kanak-kanak di negara ini dan kita berharap penubuhan Taska ini dapat diwujudkan di semua peringkat atau kementerian termasuk swasta pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taska Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Laili Masduki.

Penubuhan Taska IPK Melaka siap diubah suai daripada ruang sedia ada di bangunan IPK itu pada 7 September lalu melibatkan peruntukan berjumlah RM924,400 dan ia mampu mengasuh sebanyak 25 kanak-kanak seawal usia empat tahun.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan akan meningkatkan peruntukan daripada RM10 juta pada 2019 kepada RM30 juta pada 2020, untuk menyediakan lebih banyak lagi taska terutama di hospital dan sekolah.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, ketua jabatan atau agensi terlibat perlu merebut peluang memanfaatkan peruntukan yang akan disalurkan kerana berdasarkan audit yang dilakukan tahun lalu, sebanyak 540 agensi kerajaan belum mempunyai taska.

Menurut beliau, semua pengusaha dan pengasuh setiap taska yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mempunyai sijil Kursus Asas Asuhan Permata (KAP) bagi memberi keyakinan kepada ibu bapa terhadap perkhidmatan taska yang disediakan.

Katanya, berdasarkan rekod JKM, sebanyak 12,523 pengasuh taska di seluruh negara, namun hanya 4,624 orang atau 37 peratus sahaja memiliki sijil KAP.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Arfan Sulaiman berkata, pengusaha, penyelia dan pengasuh taska di bawah JKM perlu memastikan mereka memperoleh Sijil KAP dalam tempoh selewat-lewatnya setahun selepas beroperasi dan sekiranya gagal TASKA yang dikendalikan boleh diarah tutup.

Arfan berkata, untuk memperoleh sijil itu, mereka perlu mengikuti latihan pengasuhan kanak-kanak dan menduduki peperiksaan khas bagi memastikan kualiti dan kompetensi sebagai pengasuh kanak-kanak diiktiraf.

Dalam pada itu, Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Melaka, Datuk Ginie Lim Siew Lin yang turut hadir berkata, sebanyak enam taska baharu diwujudkan di Melaka melalui peruntukan hampir RM1 juta yang diterima tahun ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus