X

Kindly register in order to view this article
!

Contohi kepimpinan Rasulullah SAW

SEBAGAI ketua, ambil peluang bersama staf berkongsi maklumat dan membimbing mereka tidak mengira masa. -Gambar hiasan
A
A

MUNGKIN kita mempunyai jutaan rujukan tokoh dan pemimpin yang menjadi idola. Namun, ia tidak dapat menandingi keunggulan keperibadian Rasulullah SAW sebagai ketua kepada keluarga, masyarakat dan negara, apatah lagi umat manusia di seluruh alam.

ALLAH SWT berfirman: “Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Abiya’, ayat 107)

Buku 100 Most Influential People In The World oleh pengarang Barat, Michael H Hart menobatkan Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia dan menjadi pemimpin agung sepanjang zaman.

Tanggal 11 Oktober lalu, Amanie Group dan Mercy Mission Malaysia menganjurkan program Prophetic Leadership Talk yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Mercy Mission World, Sheikh Dr Tawfique Chowdhury di Menara Tokio Marine Life, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr Mohd Daud Abu Bakar.

Tawfique merupakan antara 500 Muslim Paling Berpengaruh di dunia yang dinobatkan oleh The Muslim 500. Dalam program tersebut, beliau berkongsi 10 ciri kepimpinan Rasulullah SAW yang perlu dicontohi untuk menjadi pemimpin berpengaruh.

TAWFIQUE
TAWFIQUE

Walaupun baginda SAW telah wafat lebih 1,400 tahun, tetapi mesej al-Quran dan sunah masih diterima untuk umat manusia sehingga hari ini. Antara ciri-ciri baginda SAW seperti berikut:<>

1. Menjadi diri sendiri

Nabi Muhammad SAW bersifat introvert. Kurang bercakap lebih banyak mendengar. Ini berbeza dengan sifat pemimpin yang ekstrovert biasanya banyak bercakap tetapi kurang mendengar. Baginda SAW juga tidak bermegah dalam berpakaian, tetapi cukup sekadar pakaian yang sederhana. Hari ini kita gemar meniru cara orang lain dalam pelbagai aspek. Untuk mencontohi Rasulullah SAW, kita perlu sentiasa 'memasakkan' dalam pemikiran kita untuk menjadi nombor satu. Tidak perlu tiru sesiapa, tapi jadilah diri sendiri.

2. Sentiasa bercakap dengan visi

Rasulullah SAW sentiasa bercakap dengan visi dan masa hadapan. Visi utama baginda SAW ialah hari akhirat dan banyak legasi ditinggalkan sebelum wafat. Rasulullah SAW meletakkan visi yang mempunyai hala tuju, tujuan dan motivasi yang sangat jelas. Jika kita tiada matlamat tersebut, orang lain yang akan mengisinya. Kita perlu sedar bahawa ALLAH menjadikan kita untuk beribadah kepada ALLAH, tetapi kebanyakan kita terlalu sibuk dengan mengejar dunia. Inilah masa untuk kita berubah untuk menjadi hamba ALLAH dan bukan diperhambakan oleh dunia.

3. Bercakap benar dan tidak hipokrit

Rasululllah SAW selalu bercakap benar sebelum menjadi nabi dan rasul. Oleh itu, kaum Quraisy di Makkah mempercayai baginda SAW. Oleh itu, perbaiki diri dengan berpandukan al-Quran dan sunah. Jangan hipokrit iaitu hanya pandai bercakap, tetapi tidak buat. Rasulullah SAW mempunyai nilai intergriti terbaik melalui akhlaknya. Ini sebagaimana disebut dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21.

4. Utamakan pencapaian dan bersifat rendah hati

Rasulullah SAW tidak pernah berhenti untuk berdakwah. Ketika bapa saudara Rasulullah SAW meminta untuk berhenti berdakwah atas desakan pemimpin Quraisy, baginda SAW bersabda: “Wallahi, Demi ALLAH. Seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku ini, nescaya aku tidak akan menghentikan dakwahku ini hingga ALLAH memenangkannya atau aku binasa.” (Riwayat at-Tarmidzi dan at-Tabarani)

Untuk mencapai matlamat, jangan mudah mengalah dan bersifat rendah hati. Ketua yang berasa diri hebat dan sombong akan berhenti belajar, tiada inovatif dan tidak melihat perkembangan semasa untuk berubah ke arah lebih baik.

5. Menjadi orang terakhir

Rasulullah SAW sangat perihatin dengan ummahnya. Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan At-Tirmidzi, Rasulullah SAW mendahulukan tetamu, kemudian sahabatnya, Abu Hurairah RA untuk minum susu. Ketua yang prihatin akan mendahulukan pekerjanya untuk ganjaran dan kebajikan sebelum dirinya. Ia akan menambahkan kepercayaan orang bawahan terhadap ketua tersebut. Ketua juga sanggup mengambil risiko untuk menyelamatkan pekerjanya. Contohnya, kisah Ali RA berlindung di belakang Rasulullah SAW ketika Perang Badar, sedangkan baginda SAW paling dekat dengan musuh.

6. Cepat buat keputusan

Rasulullah SAW bijak dan cepat membuat keputusan berdasarkan sebahagian maklumat yang diperoleh. Contohnya, sebelum Perang Badar, Rasulullah mengambil keputusan atas maklumat pengintip ke tempat musuh. Hari ini, ada majikan yang mementingkan laporan dan analisis yang lengkap hingga lambat bertindak. Kita tidak begitu berdaya saing jika terlalu banyak maklumat, tetapi tidak bergerak. Dapatkan maklumat ringkas dan tepat untuk buat keputusan dan maju ke hadapan.

7. Bersegera

Bekerja keras dan cepat, berkongsi data dan maklumat boleh mewujudkan kesegeraan dalam bertindak. Apabila Rasulullah SAW menerima wahyu daripada ALLAH SWT, baginda akan segera kongsikan dengan keluarga dan pengikutnya. Baginda SAW bersikap telus menyampaikan mesej tersebut dengan jelas.

8. Jaga hubungan orang senior

Rasulullah SAW mengambil berat para sahabat terutamanya Abu Bakar AS. Ketika Baginda SAW menceritakan peristiwa Israk Mikraj, ketika itu Abu Bakar AS membenarkan berita dari langit itu sehingga digelar as-Sidiq. Untuk membina legasi, kebiasaannya ketua dan ideanya dilihat tidak logik. Namun dengan adanya sokongan pengikut yang pertama, kedua dan seterusnya, dia berhasil, tetapi jika orang pertama diabaikan, seolah-olah dia memusnahkan legasinya.

9. Sentiasa beri latihan

Rasulullah SAW sentiasa mengajar dan mendidik para sahabat. Sebagai ketua, ambil peluang bersama staf berkongsi maklumat dan membimbing mereka tidak mengira masa. Pemimpin yang baik bukan dinilai pada bilangan pencapaian, tetapi berapa ramai ketua yang dilahirkan.

10. Pemangkin semangat dan kekuatan

Rasulullah SAW mendapat sokongan dan kekuatan daripada isterinya, Siti Khadijah RA ketika menerima wahyu pertama. Baginda SAW ditenangkan oleh isterinya Aishah RA ketika berhadapan dengan tekanan dalam berdakwah. Tiga perkara yang boleh mengembalikan kekuatan:

i. Sentuhan seperti pelukan dan bersalaman dengan orang tersayang;

ii. Perlukan mentor atau guru yang boleh membimbing kita; dan

iii. Mendapat reda ALLAH seperti bersolat tahajud, solat dhuha, berdoa pagi dan petang.

MOHD DAUD (depan, tiga dari kiri) dan Tawfique (depan, empat dari kiri) bersama para peserta program Prophetic Leadership Talk di Kuala Lumpur baru-baru ini.
MOHD DAUD (depan, tiga dari kiri) dan Tawfique (depan, empat dari kiri) bersama para peserta program Prophetic Leadership Talk di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus