Sinergi di antara ulama dan pemimpin

Gambar hiasan - 123RF
Gambar hiasan - 123RF
A
A
A

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru para ulama agar berani membuat teguran kepada kerajaan demi mengangkat martabat negara dan umat Islam di negara ini sangatlah wajar.

Pada Muzakarah Ulama-Umara baru-baru ini, Anwar antara lain berkata, kerajaan juga harus bersedia untuk mendengar teguran itu sebagaimana yang dianjurkan dua ulama terkenal iaitu Profesor Dr Ali Jum'ah dan Habib Umar Hafidz yang menekankan agar ia (teguran) perlu dibuat secara baik serta terhormat.

Dengan erti kata lain, bukannya dengan cara mencerca, memfitnah atau menghukum dan pemimpin pula perlu terbuka menerima teguran.

Tokoh ulama zaman silam yang luas pengetahuannya, Imam al-Ghazali dalam karya berjudul At-Tibr al-Masbuk fi Nashihah al-Muluk, menyenaraikan 10 nasihat kepada pemimpin (umara).

Antaranya, keadilan pemimpin dalam sehari lebih dicintai ALLAH daripada beribadah 70 tahun, tidak menerima segala bentuk kezaliman, harus memiliki sifat rendah diri, lemah lembut dan empati, hidup secara sederhana, tidak menjual agama untuk mendapatkan simpati rakyat termasuk sentiasa merindukan nasihat ulama.

Ulama yang dimaksudkan oleh Imam Al Ghazali ialah mereka yang benar-benar ikhlas berkata dan bertindak kerana ALLAH. Bukan mereka yang mengejar umara kerana mahu memenuhi hasrat duniawi.

Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: “Takutlah kamu kepada firasat orang yang beriman kerana sesungguhnya dia melihat dengan cahaya (petunjuk) ALLAH SWT.”

Dengan pengertian mudah, ulama sudah tentunya merupakan individu yang bukan sahaja memiliki ilmu, tetapi apa yang disampaikan mereka adalah manifestasi daripada isi kandungan kitabullah dan hadis.

Malah, daripada Abi al-Darda, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ulama itu adalah pewaris nabi.”Maka, ulama dan pemimpin perlu ada sinergi dalam membangun serta memakmurkan negara, selain menangkis pandangan yang radikal.

Betapa signifikannya golongan yang tinggi ilmu agamanya itu juga berfungsi menjadi jambatan di antara pemerintah dan masyarakat.

Menurut Imam al-Ghazali, agama dan kekuasaan bagaikan saudara kembar. Agama adalah asas dan kekuasaan adalah penjaganya.

Apa saja yang tiada asasnya akan hancur dan apa saja yang tiada penjaganya akan lenyap.