Raja dan rakyat berpisah tiada

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
A
A

MALAYSIA ialah sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai latar belakang agama, etnik, ritual dan kepercayaan serta fahaman politik.

Kerencaman itu menjadi keunikan kepada demografi dan geografi yang mewarnai 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan dengan Islam adalah Agama Persekutuan.

Islam dilihat sebagai agama rahmah bermakna kasih sayang mencakupi hubungan manusia sesama manusia, manusia dan pencipta Maha Agung serta hubungan manusia dengan alam semesta. Sehubungan dengan kerangka rahmah itu, semua aspek kehidupan tidak terkecuali menzahirkan sinergi atau interaksi dengan pelbagai kumpulan kehidupan termasuk dengan masyarakat bukan Islam.

Nilai perwatakan dan karakter berprinsipkan kepada pembangunan mapan menyeluruh menjadi intipati kepada konsep agama rahmah itu dengan nilai kemanusiaan menyantuni kesejahteraan dan penerapan nilai mulia.

Naratif pembinaan negara bangsa berbilang rumpun ini berasaskan penghayatan tersebut diperkukuhkan dengan beberapa institusi yang menjadi tiang seri struktur tanah air termasuk peranan institusi diraja, perlembagaan dan prinsip patriotisme yang menjunjung kedaulatan negara serta kedudukan warganya.

Bila mana berkumandang lagu Negaraku, antara bait yang kedengaran ialah Raja Kita, Selamat Bertakhta. Lirik daripada lagu kebangsaan Malaysia itu menunjukkan ia pasak takhta kedaulatan negara dan tadbir urusnya. Kedudukan institusi Diraja itu merupakan satu kesinambungan sejarah kesultanan dan warisan pensejarahan Tanah Melayu sejak sebelum zaman kolonialisme lagi.

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan meletakkan institusi diraja pada kedudukan kukuh dengan pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara sebagaimana tertera dalam lagu kebangsaan ke atas ‘takhta’ yang membawa ‘kerahmatan dan kebahagiaan daripada kurniaan Tuhan.’

Kuasa eksekutif tertakluk pada kuasa Yang di-Pertuan Agong bersesuaian dengan Perkara 39 yang lazimnya diwakili Jemaah Menteri. Frasa ‘Urusan Seri Paduka Baginda’ sering terlepas pandang daripada tafsiran umum tanpa mengetahui bahawa ia di bawah kuasa yang boleh dilaksanakan oleh baginda atau Jemaah Menteri serta yang dipersetujui oleh Parlimen.

Begitu juga di bawah Perkara 44, Yang di-Pertuan Agong ialah salah satu elemen induk Parlimen. Badan perundangan memberikan kuasa untuk memanggil, menangguh (nasihat) dan membubar adalah budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong [Perkara 40(2)(b)].

Patriotisme

Nilai kenegaraan dan institusi diraja sinonim serta saling melengkapi. Identiti itu amat signifikan dalam proses membela negara yang menjadi rangkuman sifat patriotisme berperlembagaan di negara berdaulat termasuk memahami hubungan institusi raja dan rakyat.

‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ sebagaimana prinsip kedua Rukun Negara memapar pentingnya patriotisme sebagai benteng citra kewarganegaraan.

Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja Ketua Agama Islam tetapi juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Rangkuman persetujuan ke atas Kontrak Sosial atau Racial Bargaining mahupun Gentlement Agreement itu ketika rundingan kemerdekaan termasuk perkara berkaitan dengan agama, bahasa, kedudukan istimewa orang Melayu dan institusi raja-raja sebagai timbal balik kepada kerakyatan orang bukan Melayu menunjukkan bahawa nilai patriotisme melangkaui kepentingan masing-masing agar kesetiaan warganegara dijadikan tunjang kemerdekaan tanah air.

Kesetiaan kepada Raja tidak terkecuali apatah lagi Yang di-Pertuan Agong ialah ketua negara. Ia terkandung dalam Perlembagaan yang dipinda pada tahun 1963 untuk dijadikan sebagai Perlembagaan Malaysia tanpa mengubah roh pembinaan negara untuk kepentingan bersama Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Raja sebagai ‘pelindung’ memenuhi aspirasi ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang bangga menjadi warganya, fasih berbahasa Melayu dan menjunjung ketertinggian Raja Perlembagaan supaya mengunjur ketamadunan negara ke tahap seiring proses pemodenan, industrilisasi dan kemajuan tanpa menjejaskan kedudukan institusi diraja.Benteng ‘pelindung’ di bawah spektrum institusi raja-raja itu amat signifikan jika dihalusi dan diperincikan kedudukan tersebut dalam suasana rakyat mencari tempat berteduh dengan pemimpin yang membimbingnya.

Mekanisme raja berperlembagaan sebagai lambang penyatuan dan konsep patriotisme raja berperlembagaan sesuai dengan kerangka kedudukan institusi diraja sebagai pelindung dalam memastikan simpulan ikatan raja dan rakyat sentiasa dipertahankan dalam apa jua keadaan.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.