Iktibar di sebalik bencana banjir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

OH banjir datang lagi...

Sejak dua minggu lepas, beberapa perkampungan di Baling, Kedah mula dinaiki air hingga memaksa penduduk berpindah walaupun pada waktu malam.

Bukan sekali, tapi sudah tiga kali. Jadi, penduduk yang terlibat terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran kawasan kediaman demi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Kemungkinan gelombang banjir di kawasan berkenaan berulang ekoran hujan lebat sejak kebelakangan ini.

Hujan lebat turut menyebabkan beberapa kediaman penduduk di Kulim dan Kubang Pasu ditenggelami air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, pihaknya bersiap-siaga dengan kekuatan aset di darat dan air demi berdepan Monsun Timur Laut itu.

Menurutnya, APM Kedah bersedia dengan aset seperti 15 lori, 12 ambulans, 13 kenderaan pacuan empat roda dan 85 bot pelbagai jenis untuk beroperasi jika banjir berlaku.

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan, ramalan cuaca di Kedah menunjukkan tiada hujan di waktu pagi, bagaimanapun ribut petir pada waktu petang dan malam di satu dua lokasi.

Artikel Berkaitan:

Apa yang pasti, penduduk khususnya yang tinggal berdekatan sungai bimbang setiap kali hujan turun tanpa henti diikuti air sungai naik dan melimpah ke kediaman mereka.

Bagi sesetengah penduduk Kedah, banjir mengingatkan mereka kepada fenomena banjir besar 2010 yang mengakibatkan ribuan mangsa dipindahkan, jalan ditutup, kerosakan harta benda dan kerugian wang ringgit.

Malah, air banjir yang berwarna keruh itu adakalanya membawa sampah dibuang manusia sendiri hingga membawa kepada pencemaran.

Ada ketikanya, penduduk terpaksa berjaga malam memikirkan sama ada air naik atau tidak.

Mereka juga bimbang jika tertidur lena maka mereka tidak sempat memindahkan barangan tatkala gelombang banjir membadai kediaman.

Golongan petani turut resah mengenangkan sama ada beroleh hasil ataupun berputih mata sekiranya padi ditenggelami air.

Ibu bapa juga bimbangkan keselamatan ahli keluarga terutamanya anak-anak mereka akibat banjir melanda.

Ada ketika beberapa sekolah terpaksa ditutup disebabkan air naik terlampau tinggi dan mengundang bahaya kepada pelajar dan murid.

Kali ini, banjir yang berlaku mungkin disebabkan faktor semula jadi iaitu hujan lebat tanpa henti disebabkan Monsun Timur Laut.

Punca

Bagaimanapun, jangan kita lupa ada juga kejadian banjir disebabkan perbuatan manusia sendiri.

Penebangan pokok dan pembalakan haram, pembangunan tidak terkawal, pembuangan sampah hingga menyebabkan longkang dan parit tersumbat juga antara punca banjir.

Dalam setahun, boleh dikatakan dua hingga tiga kali pastinya ada sahaja kawasan di negeri Jelapang Padi itu yang dinaiki air.

Pada Januari lepas, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri amat komited dalam pemuliharaan alam di Hutan Simpan Ulu Muda apabila menghentikan pembalakan di kawasan itu pada tahun lalu.

Bagi Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Datuk Zamri Yusuf, beliau yakin masalah banjir di Kedah selesai dengan projek Rancangan Tebatan Banjir pakej dua.

Beliau menjelaskan, projek RTB di Kedah dianggarkan bernilai RM641 juta merangkumi tiga pakej, iaitu pakej satu menaik taraf Sungai Baru/Sungai Kubang Rota, diikuti pakej dua pembinaan lencongan Sungai Baru dan menaik taraf Sungai Anak Bukit serta kerja-kerja berkaitan RTB.

ADUN Suka Menanti itu berkata, pakej tiga melibatkan kerja menaik taraf Sungai Tanjung Pauh, terusan utama, terusan utara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan menaik taraf Sungai Anak Bukit.

Banjir di Kedah baru-baru ini mungkin tidak sebesar banjir besar 2005 dan 2010, namun ia masih perlu diteladani.

Antaranya, semua agensi sama kerajaan ataupun sukarelawan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Daerah, polis dan lain-lain dilihat berlumba-lumba membantu mangsa.

Tidak dinafikan banjir membawa air mata, derita dan kerosakan namun dalam masa yang sama ia mendekatkan penduduk tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama.

Kita juga boleh mengambil iktibar daripada banjir di Jepun akibat Taufan Hagibis yang mana airnya tetap jernih tidak seperti banjir di Malaysia.

Malah, banjir juga petanda kepada manusia supaya tidak terlalu asyik mengejar pembangunan sebaliknya ambil berat soal alam sekitar.

* Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian Edisi Utara