2026 tahun perkukuh jenama ‘Malaysia Truly Asia'

Persembahan tarian daripada kumpulan kebudayaan DBKL sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Balai Ketibaan ETS, KL Sentral pada 1 Januari lalu. Foto Bernama
Persembahan tarian daripada kumpulan kebudayaan DBKL sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Balai Ketibaan ETS, KL Sentral pada 1 Januari lalu. Foto Bernama
A
A
A

TAHUN Melawat Malaysia (VM) menjadi pembuka tirai kalendar 2026 dengan matlamat mengukuhkan sektor pelancongan sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kerajaan menetapkan sasaran menarik 47 juta pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan hampir RM100 bilion menjadi antara unjuran tertinggi dalam sejarah negara.

Lebih RM500 juta diperuntukkan bagi memacu sektor itu termasuk promosi, infrastruktur dan acara antarabangsa dengan sebahagiannya disalurkan khas untuk menjayakan kempen di dalam dan luar negara.

Sebanyak RM50 juta geran padanan disediakan untuk menarik penerbangan antarabangsa baharu ke Malaysia antaranya British Airways, Hong Kong Ekspress dan Jiangxi Air.

Kira-kira RM25 juta pula diperuntukkan untuk menarik taraf kemudahan pelancongan termasuk tapak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Langkawi kekal sebagai permata pelancongan dengan pembangunan Kilim Geoforest Park, Gua Selat Panchor Trail dan geotrail pendakian UNESCO Global Park.

Kerajaan menawarkan pelbagai insentif cukai dengan potongan sehingga RM500,000 untuk ubah suai premis pelancongan, pengecualian cukai 100 peratus kepada syarikat pelancongan dan penganjur acara antarabangsa serta pelepasan cukai individu RM1,000 bagi rakyat yang melancong dalam negara.

Strategi dan tumpuan lebih menawarkan pengalaman bernilai tinggi kepada pelancong, menekankan keindahan alam, kepelbagaian budaya serta keunikan juadah selain memperkenalkan produk pelancongan unik seperti pelancongan masjid.

Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan kalendar acara VM2026 menampilkan lebih 300 program dan acara sepanjang tahun merangkumi elemen seni dan budaya, warisan serta kepelbagaian kaum melalui sambutan dan tradisi perayaan di Malaysia.

Antara acara utama yang diketengahkan ialah VM2026 Chinese New Year Festival, VM2026 Aidilfitri Festival, VM2026 Deepavali Festival, VM2026 Christmas Fest dan keunikan perayaan tradisi tempatan seperti Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Pesta Gawai.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Petronas Grand Prix of Malaysia, Rainforest World Music Festival serta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia.

Dari sudut ekonomi makro, sumbangan sektor pelancongan bukan sahaja terhad kepada hasil langsung, malah turut menjana kesan pengganda melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam konteks VM2026, sasaran perbelanjaan yang lebih tinggi mencerminkan usaha kerajaan untuk menggalakkan pelancongan bernilai tinggi.

Dalam landskap persaingan serantau yang semakin sengit, pendekatan promosi bersasar dan inovatif menjadi faktor penting untuk mengekalkan daya saing negara sebagai destinasi pilihan.

Penekanan terhadap pemasaran digital dan kerjasama strategik dengan pemain industri global dilihat mampu meningkatkan keberkesanan kempen ini.

Pada masa sama, kejayaan VM2026 turut bergantung kepada kesiapsiagaan industri pelancongan di peringkat pelaksanaan.

Aspek kualiti perkhidmatan, penyelenggaraan infrastruktur, kebersihan dan keselamatan destinasi perlu diberi perhatian berterusan bagi memastikan pengalaman pelancong selari dengan jangkaan.

VM2026 berpotensi menjadi pemangkin kepada pemulihan dan penstrukturan semula sektor pelancongan negara.

*Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian

 

 

Ringkasan AI

  • Tahun Melawat Malaysia 2026 bertujuan mengukuhkan sektor pelancongan sebagai penyumbang kepada ekonomi dengan sasaran 47 juta pelawat antarabangsa
  • Lebih RM500 juta diperuntukkan bagi promosi, infrastruktur dan acara antarabangsa untuk sektor pelancongan
  • Geran RM50 juta untuk menarik penerbangan antarabangsa baru ke Malaysia
  • Insentif cukai dan potongan sehingga RM500,000 untuk ubah suai premis pelancongan dan pengecualian cukai kepada syarikat pelancongan
  • VM2026 menampilkan lebih 300 program dan acara termasuk festival perayaan utama dan acara budaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!