UK, EU capai perjanjian Brexit baharu

Johnson (kiri) dan Juncker mendakwa telah mencapai persetujuan dalam perjanjian baharu Brexit.
Johnson (kiri) dan Juncker mendakwa telah mencapai persetujuan dalam perjanjian baharu Brexit.
A
A
A

BRUSSELS - Kesatuan Eropah (EU) dan Britain telah mencapai persetujuan dalam perjanjian Brexit baharu, menurut Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker dan Perdana Menteri UK, Boris Johnson hari ini.

"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, kami capai perjanjian itu. Ia adalah perjanjian yang adil dan seimbang untuk EU dan UK. Ini adalah bukti komitmen kami untuk mencari jalan penyelesaian Brexit.

"Saya cadangkan Sidang Kemuncak EU meluluskan perjanjian ini," kata Juncker sebelum mesyuarat bersama pemimpin blok itu di Brussels.

Sementara itu, Johnson juga mengesahkan perjanjian baharu telah dicapai dan beliau berpendapat ia perlu diluluskan Parlimen pada Sabtu ini supaya kerajaan boleh beralih kepada perkara lain lebih utama seperti kos hidup, jenayah dan alam sekitar.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada ahli Parti Konservatif akan menyokong perjanjian baharu tersebut menjelang tarikh akhir Brexit pada 31 Oktober ini.

Sementara itu, Ketua Perunding EU, Michel Barnier memberitahu, kedua-dua belah pihak berjaya mencari jalan penyelesaian yang menghormati integriti pasaran tunggal sepenuhnya.

"Kami dapat mewujudkan penyelesaian yang baharu dan sah untuk 'hard border' dan melindungi keamanan serta kestabilan di Ireland. Ia adalah jalan penyelesaian yang berfungsi untuk EU, UK, penduduk dan perniagaan di Ireland Utara," katanya.

Parti Kesatuan Demokratik Ireland Utara (DUP) bagaimanapun menolak perjanjian baharu Brexit itu.

Artikel Berkaitan:

Sumber DUP memaklumkan ia tidak dapat menyokong isu kastam dan pengaturan cukai jualan.

Dalam satu kenyataan lain, pemimpin pembangkang, Jeremy Corbyn yang memimpin Parti Buruh juga menolak perjanjian itu malah beliau mendakwa ia lebih buruk berbanding perjanjian dibuat pendahulunya, Theresa May yang ditolak sebanyak tiga kali oleh Parlimen pada tahun lalu.

"Perjanjian itu sepatutnya ditolak. Cara terbaik untuk mendapatkan Brexit adalah memberikan rakyat membuat keputusan akhir dalam undi awam," tegasnya. - Agensi