Polis siasat kes graduan protes di pentas konvokesyen

Laporan Sinar Harian kelmarin.
Laporan Sinar Harian kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur mengesahkan menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan Universiti Malaya membabitkan tindakan protes seorang graduan di pentas konvokesyen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, kejadian yang berlaku Isnin lalu melibatkan seorang siswa lelaki berusia 23 tahun yang mendesak pemimpin universiti berkenaan meletak jawatan sambil melaung perkataan ‘tolak rasis’, ‘undur VC’ dan ‘ini tanah Malaysia’ di pentas itu.

“Selepas siswa terbabit menerima skrol ijazah, dia kemudian mengeluarkan plakad serta mendesak pemimpin universiti itu meletak jawatan,” katanya melalui kenyataan media tadi.

Menurutnya, tindakan siswa itu melanggar protokol istiadat dan mengganggu prosiding konvokesyen universiti itu.

“Kita tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap sesiapa didapati mengganggu-gugat ketenteraman awam atau mencetuskan isu yang menyentuh sensitiviti perkauman mahu pun agama di negara ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati perlembagaan dan undang-undang serta bersama-sama berusaha mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

Mazlan berkata, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan graduan tersebut, Wong Yan Ke menegaskan tindakannya yang menunjukkan tanda protes sejurus menerima skrol ijazah sarjana muda pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59 Isnin lalu hanya sebagai proses untuk mendemokrasikan kampus.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tindakan saya hanya untuk demokrasi kampus'