Malaysia digesa teruskan usaha hapus senjata nuklear

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia perlu meneruskan usaha untuk menghapuskan senjata nuklear, kata pengasas bersama Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear (Ican), Dr Ronald McCoy.

"Jumlah senjata nuklear telah berkurangan daripada 68,000 pada 1985 kepada kira-kira 15,000 hari ini. Penggunaan satu senjata nuklear boleh membunuh ratusan ribu orang, satu senjata nuklear memberi kesan yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menjadi tetamu kehormat pada majlis Persatuan Kepimpinan Komanwel Malaysia (CALM) di Sabah baru-baru ini, menurut organisasi itu dalam satu kenyataan.

Pengerusi CALM, Hanaa Wong Abdullah berkata penglibatan tokoh seperti Dr McCoy pada acara hujung minggu itu mencerminkan semakin pentingnya Komanwel untuk masa depan Malaysia.

"Organisasi ini komited untuk membantu membangunkan pemimpin di peringkat kerajaan, industri dan badan bukan kerajaan untuk menangani cabaran yang penting dan pelbagai yang kita hadapi," katanya.

Organisasi yang ditubuhkan pada Oktober lepas, bekerja rapat dengan Duke of Edinburgh Commonwealth Study Conferences (CSC).

Organisasi itu merancang untuk mengadakan acara kepemimpinan seterusnya di Kuala Lumpur.- Bernama

Artikel Berkaitan: