SPR tinjau Pusat Daerah Mengundi di seluruh negara

Azhar ketika melawat pameran yang diadakan sempena forum demokrasi yang diadakan di USM hari ini.
Azhar ketika melawat pameran yang diadakan sempena forum demokrasi yang diadakan di USM hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian dan pemeriksaan ke atas semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negara sebagai persediaan bagi menghadapi pertambahan jumlah pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia termasuk memeriksa sekolah, dewan dan kawasan lapang yang boleh digunakan untuk digunakan sebagai tempat pengundian pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, SPR menjangkakan akan berlaku peningkatan lebih 50 peratus jumlah pengundi selepas ini selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

"Selain itu kita dapati terdapat empat juta individu berusia 21 tahun yang masih belum berdaftar dan jumlah pengundi akan bertambah apabila kelayakan individu berusia 18 tahun yang boleh menjadi pengundi selepas ia dikuatkuasakan kelak.

“Sekiranya kelayakan mengundi umur 18 tahun dikuatkuasakan kita menjangkakan bilangan pengundi pada usia itu sebanyak 500,000 setahun dan menjadi 3.8 juta menjelang PRU-15.

Oleh itu kita memerlukan persediaan begitu rapi bagi menghadapi pilihan raya akan datang," katanya ketika ditemui pada selepas menyampaikan ucaptama pada Program Demokrasi di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Pada PRU14 yang lalu terdapat seramai 14.9 juta pengundi dan jumlah itu dijangka akan bertambah kepada 22.7 juta pengundi pada PRU15 nanti.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan Azhar berkata, pihaknya mendapati terdapat sekolah atau dewan yang digunakan pada PRU14 lalu didapati tidak lagi mampu menampung pertambahan jumlah pengundi terutamanya di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti dewan dan kawasan lain yang boleh disewa untuk digunakan bagi menampung jumlah pengundi yang akan bertambah.

“Hal ini penting kerana kita tidak mahu pengundi yang datang terpaksa beratur dan menunggu terlalu lama di pusat mengundi.

“Selain itu kita turut akan menambah bilangan petugas dan kawalan keselamatan memandangkan pertambahan jumlah pengundi semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Azhar berkata, pihaknya kini berdepan kesukaran untuk menetapkan tempat pemilih mengikut alamat pengundi.

“Perkara ini sukar dan perlu diteliti kerana kita tidak mahu ada dakwaan bahawa kita cuba memanipulasi tempat mengundi mereka serta wujudnya pengundi hantu.

“Jadi kita minta setiap pengundi mengemaskini alamat dalam sistem pendaftaran supaya ia membolehkan kita menetapkan kawasan mengundi mengikut alamat,” katanya.