Premis pengurup wang disamun perompak berkapak

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
A
A
A

PORT DICKSON - Sebuah premis pengurup di sebuah pasar raya di sini mengalami kerugian lebih RM50,000 selepas disamun lima lelaki bertopeng yang bersenjatakan kapak dan parang dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, semasa kejadian kira-kira jam 4.30 petang, tiga pekerja di dalam premis berkenaan didatangi dua lelaki mengetuk cermin keselamatan kedai menggunakan kapak besar sehingga pecah.

"Kesemua pekerja yang dalam ketakutan terus menyembunyikan diri di bahagian bawah meja kedai. Bagaimanapun salah seorang pekerja itu sempat menekan butang penggera.

"Namun suspek meneruskan tindakan memecahkan cermin kaca kedai dan memecahkan pintu masuk kedai sebelum masuk ke dalamnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, suspek kemudian membuka laci yang menyimpan pelbagai mata wang asing dan tempatan sebelum melarikan mata wang tempatan kira-kira RM50,000, namun jumlah mata wang asing masih belum dapat dipastikan.

"Daripada siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga daripada suspek sedang berkawal di bahagian luar kedai. Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek memakai penutup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang serta kapak manakala ketiga-ketiga pekerja premis itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pada jam lebih kurang 5.30 petang, pihak polis telah menjumpai kereta suspek ditinggalkan di parkir hadapan Flat Taman Orkid, Jalan Bypass. Siasatan terhadap kereta tersebut mendapati bersabit kejadian samun di kawasan Tampoi Johor.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan lanjut, suspek dipercayai telah melarikan diri dengan kenderaan lain iaitu kereta jenis Perodua Axia warna silver berdasarkan maklumat daripada orang awam. Susulan itu polis telah menjalankan Ops Tutup bagi mengesan kesemua suspek," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Kerugian keseluruhan masih belum dapat dipastikan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 0174220322 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.