X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu negara dilanda banjir kilat, tanah runtuh

Video banjir yang tular di media sosial.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang melanda beberapa kawasan di ibu negara berikutan hujan lebat petang tadi.

Hujan lebat sejak jam 3.45 petang menyebabkan beberapa kawasan mula dinaiki air.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan berlaku di kawasan terjejas.

Menurut kenyataan itu, antara kawasan dilanda banjir kilat ialah Kampung Segambut Dalam, Kampung Sungai Penchala dan kawasan Pasar Seni menghala ke Brickfields.

"Terdapat kejadian tanah runtuh berkeluasan 12 meter persegi di Institut Latihan Kemas, Jalan Syed Putra berikutan tembok runtuh sepanjang 10 meter.

"Enam kejadian pokok tumbang dilaporkan di Jalan Segambut, Taman Sejahtera, Taman Sri Delima, Taman Sri Segambut, Taman Niaga Waris dan di Stesen Minyak Shell, Taman Desa," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, dua kawasan paling teruk terjejas dilanda banjir lumpur iaitu Segambut Dalam dan Kampung Sungai Penchala

Katanya, terdapat kira-kira 33 rumah penduduk di Kampung Sungai Penchala terjejas akibat banjir kilat yang disifatkan terburuk dalam tempoh dua tahun lalu.

"Paras air akibat banjir kilat pula direkodkan sehingga paras pinggang namun air kembali surut sejam selepas itu," katanya.

Hannah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat kejadian pokok tumbang di merata tempat termasuk Segambut Dalam, Taman Sejahtera dan Taman Kok Doh.

"Pasukan bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu mengalihkan pokok tumbang terbabit," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus