Mayat lelaki lengkap berpakaian ditemukan terapung

Mayat seorang lelaki berpakaian lengkap ditemui terapung di Pulau Duyong petang tadi. -FOTO: IHSAN PEMBACA
A
A

KUALA TERENGGANU - Mayat seorang lelaki yang hilang sejak semalam ditemui terapung di Pulau Duyong di sini petang tadi.

Lelaki berusia 52 tahun dipercayai jemaah Masjid Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus itu ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian oleh beberapa pekerja di Duyong Marina & Resort sebelum menghubungi polis kira-kira jam 3 petang.

Menurut Imam masjid, Azhari Yaacob, kali terakhir beliau berjumpa mangsa ketika membawa lelaki itu mendapatkan rawatan ke Klinik Teluk Ketapang, Kuala Nerus kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

"Saya hantar mangsa ke klinik tersebut untuk menerima rawatan kerana sejak kebelakangan ini, dia dilihat mengalami gangguan emosi.

"Bagaimanapun sejurus masuk ke dalam bilik doktor, mangsa terus melarikan diri kerana tak nak jumpa doktor. Saya memang tak sempat nak kejar sebelum ke Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus membuat laporan," katanya ketika ditemui di lokasi, di sini.

Jelasnya, selepas kejadian, dia bersama beberapa jemaah dan penduduk kampung tidak putus asa mencari mangsa sehinggalah dimaklumkan dengan penemuan mayatnya kira-kira jam 5 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk bedah siasat," katanya.