Kerajaan sokong projek pembesaran PTP

Anthony ketika berucap pada sidang media berkenaan di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pengangkutan bersedia memberi sokongan penuh kepada cadangan pengendali Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) untuk menaik taraf fasiliti tersebut.

Menterinya, Anthony Loke berkata, usaha itu melibatkan perbincangan dan memeterai pelbagai persetujuan sebagai langkah awal sebelum pelabuhan berkenaan mencapai kapasiti maksimum pengendalian kontena.

"Harapan kita adalah untuk membesarkan kapasiti sekarang yang kini mampu menampung kapasiti 12.5 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) kepada 30 juta TEU. Ia akan dibesarkan dalam sekali ganda.

"Berhubung keluasan, panjang atau sebagainya, ia akan dimaklumkan apabila kita semua ada kelulusan nanti. Setakat ini apa yang boleh kita nyatakan adalah kerajaan sokong dan berharap ia akan diselesaikan.

"Bagi kosnya, ia akan ditanggung oleh pihak swasta. Pelabuhan utama negara termasuk PTP merupakan konsesi yang telah diswastakan, jadi pihak swasta akan melabur untuk projek pembesaran ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Minggu Pelabuhan Johor dan Persidangan Pelabuhan 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata, proses pembesaran kemudahan di pelabuhan berkenaan juga dijangka boleh diselesaikan menjelang 2030 yang akan dibangunkan secara berfasa dengan memperuntukkan tempoh selama lima hingga 10 tahun.

"Cadangan ini (pembesaran pelabuhan) sudah disebut beberapa tahun lalu. Ia juga untuk pastikan kita tidak tunggu sehingga kapasiti di sana penuh, baru kita merancang.

"Sekarang ia telah capai sembilan juta TEU, kemungkinan jika dibiarkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun sahaja, PTP sudah capai TEU maksimum," katanya.

Untuk rekod, pada Jun lalu, PTP sebagai salah satu pelabuhan utama Malaysia telah berjaya mencatatkan rekod dunia baharu bagi pelepasan kapal dengan muatan penuh lebih 19,000 TEU.