Lelaki miliki kelengkapan polis ditahan

Gambar individu yang disyaki memiliki jaket keselamatan dan pangkat polis tular di laman sosial.
Gambar individu yang disyaki memiliki jaket keselamatan dan pangkat polis tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki memiliki peralatan dan kelengkapan polis, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki berkenaan ditahan di Balai Polis Jinjang pada jam 12.30 pagi.

"Lelaki tersebut telah menyerahkan satu jaket keselamatan bertulis 'Persatuan Kepolisan Komuniti Kuala Lumpur & Selangor (PKKKLS) berwarna hijau beserta sepasang pangkat CP (Komisioner Polis) yang dipasang pada jaket tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lencana pangkat tersebut ditempah di sebuah kedai jahit di Gombak.

"Kita turut dimaklumkan kehadiran lelaki tersebut dengan memakai jaket keselamatan beserta pangkat di suatu majlis keagamaan di kawasan Taman Wahyu adalah atas jemputan Setiausaha Persatuan tersebut yang tinggal di kawasan itu," katanya.

Mazlan berkata, siasatan lanjut juga dilakukan terhadap ahli-ahli lain yang turut hadir pada majlis tersebut, saksi bebas dan lain-lain aspek yang berkaitan.

"Kita memandang serius tentang perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya penyamaran yang mengakibatkan kekeliruan kepada orang ramai.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 iaitu memiliki, membuat, menjual atau membekalkan secara haram peralatan yang dibekalkan kepada pegawai Polis dan penggunaan pakaian seragam Polis tanpa kebenaran dan Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu memiliki secara haram barang-barang kepunyaan Askar, Tentera Laut, Tentera Udara atau Polis," katanya.