Dua lelaki ditahan halang tugas polis

Dua lelaki ditahan di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini, di sini pada Khamis selepas cuba menghalang tugas anggota polis. - Gambar hiasan
Dua lelaki ditahan di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini, di sini pada Khamis selepas cuba menghalang tugas anggota polis. - Gambar hiasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dua lelaki ditahan di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Mutiara Rini, di sini pada Khamis selepas cuba menghalang tugas anggota polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, dalam kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu, peronda kenderaan pelbagai guna (MPV) polis, mendapat maklumat terdapat kereta yang mencurigakan berhenti di tengah jalan berkenaan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, didapati dua lelaki sedang tidur di dalam kereta tersebut. Lelaki di bahagian penumpang keluar dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis.

"Mereka kemudiannya ditahan dan salah seorang daripadanya tidak memiliki kad pengenalan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek dalam keadaan mabuk selain memiliki memiliki rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik serta kesalahan kongsi gelap.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh hingga dua tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

"Turut disiasat di bawah Seksyen 25(1)(N) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!