Bangunan baharu diharap mampu bantu percepat selesai kes

Mohamed Hanipa (kanan) sewaktu merasmikan pembukaan Mahkamah Majistret Kemaman.
A
A

KEMAMAN - Penambahan bangunan baharu bagi kegunaan Mahkamah Majistret Kemaman diharap dapat membantu mempercepatkan penyelesaian kes-kes kecil.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, sebelum ini banyak kes di Kemaman terpaksa di bawa ke mahkamah Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, penambahan bangunan berkenaan membolehkan semua kes sama ada kes Mahkamah Majistret atau Mahkamah Sesyen dapat dibicarakan di situ.

“Apabila saya mendapat maklumat mengenai banyak kes-kes tertunggak di sini, saya membuat lawatan.

"Hasilnya, Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan bagi membina bangunan tambahan untuk kegunaan mahkamah majistret yang berasingan untuk kes-kes kecil," katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat Majlis Pembukaan Mahkamah Majistret Kemaman dalam lawatan seharinya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Pendaftar Mahkamah Rendah Malaysia, M. Bakri Abd Majid; Pengarah Mahkamah Negeri Terengganu, Jamaludin Mat dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Mahkamah Majistret Kemaman dibuka pada 28 April 1973 dan Mahkamah Seksyen Kemaman dibuka pada 25 November 2000 di bangunan yang sama.

Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan bagi membina sebuah bangunan baharu untuk kegunaan Mahkamah Majistret Kemaman dan bangunan baharu itu akan digunakan berkuatkuasa 15 Oktober 2019 berikutan terdapat banyak kes-kes tertunggak di kedua-dua mahkamah.