Polis kesan transaksi kewangan biayai aktiviti, rekrut LTTE

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan transaksi kewangan dalam jumlah besar disyaki digunakan untuk membiayai aktiviti, mempromosi, merekrut dan menggerakkan program berkaitan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengesan perkara itu susulan tangkapan lima individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE dalam satu operasi khas di beberapa negeri hari, semalam.

“Pihaknya mendapati transaksi itu melibatkan antara akaun di antara suspek yang ditahan itu, kita tidak pasti duit dari luar masuk ke sini, siasatan masih di peringkat awal,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.

Ayob Khan berkata, dalam operasi pada jam 10 pagi hingga 5 petang itu antara yang ditahan merupakan guru di sebuah sekolah di Banting, Selangor, Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan Melaka yang disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE.

Beliau berkata, penahanan itu membabitkan seorang di Selangor, dua di Melaka dan dua di Pulau Pinang.

“Jumlah mereka yang ditahan setakat ini adalah seramai 12 orang kerana disyaki mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana dan memiliki item berkaitan LTTE,” katanya.

Menurutnya, tangkapan terbaharu adalah di Teluk Panglima Garang, seorang guru lelaki berusia 52 tahun ditahan kerana disyaki menyokong dan mempromosi LTTE menerusi media sosial.

“Selain itu individu itu turut memiliki dan menyimpan item berkaitan kumpulan itu, kita turut menahan seorang Ahli Majlis PBT negeri berumur 38 tahun dan CEO perbadanan anak syarikat kerajaan Melaka berusia 43 tahun ditahan di Durian Tunggal, Melaka kerana bertindak sebagai penganjur sambutan hari perwira LTTE pada 28 November tahun lalu di negeri itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PDRM turut menahan dua lelaki yang bekerja sebagai pekerja kilang berusia 26 tahun dan penyelia keselamatan berusia 29 tahun kerana disyaki menyokong dan mempromosi LTTE menerusi media sosial.

Ayob Khan berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur berhubung isu pengganas.

“Mereka yang ditahan itu kerana disyaki terlibat dengan aktiviti menyokong dan mempromosi keganasan, tidak kira mereka daripada parti mana pun, kami tidak bertolak ansur dalam perkara ini, siapa yang terlibat jika cukup bukti pasti akan ditangkap,” katanya.

Khamis lalu, PDRM menahan tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan pengganas LTTE.

Semua yang ditahan sebelum ini dipercayai mempromosi, menyokong, menghasut dan mencari dana untuk menghidupkan kembali kumpulan pengganas LTTE dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan.

Mereka ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah dalam operasi khas.