Semai benih perpaduan Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SEJAK akhir-akhir ini, banyak pihak bercakap tentang perpaduan. Sama ada tentang kerjasama antara parti politik mahupun penyatuan Melayu.

Pendirian saya konsisten iaitu sentiasa menyokong sebarang usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia tidak kira bangsa mahupun warna kulit.

Saya sokong kerana saya sedar bahawa perpaduanlah asas kejayaan sesebuah negara. Jika tidak, mana mungkin usaha menyatukan masyarakat termasuk orang Melayu telah dimulakan sejak sebelum merdeka lagi.

Pada tahun 1946, datuk saya sendiri, Allahyarham Datuk Onn Ja’afar mengadakan mesyuarat dengan lebih 40 pertubuhan Melayu bagi berbincang dan menyeru orang Melayu agar bersatu menentang Empayar British serta pembentukan Malayan Union.

Lebih bermakna, usaha beliau itulah menyebabkan tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Datuk Onn juga sanggup meletakkan jawatan dalam UMNO pada tahun 1951 selepas cadangannya untuk membuka keahlian UMNO kepada semua kaum ditentang sebahagian besar ahli.

Lihatlah, betapa besarnya visi Datuk Onn menyatukan rakyat. Beliau sedar dan sanggup akui bahawa Malaysia tidak akan berjaya jika hanya bersandarkan kepada kekuatan Melayu semata-mata.

Hari ini, sedar atau tidak, sesetengah usaha dan keputusan yang kita buat seolah-olah sedang mengulangi sejarah yang dicoretkan Datuk Onn.

Artikel Berkaitan:

Lihat sahajalah kepada usaha Muafakat Nasional dan penganjuran Kongres Maruah Melayu. Tujuan utama pelaksanaannya ialah kita mahu menyemai benih perpaduan dalam kalangan orang Melayu tanpa sedikit pun meminggirkan kaum-kaum lain.

Tujuannya ialah kita mahu memenuhi harapan nenek moyang dahulu yang mengimpikan sebuah negara berbilang bangsa yang maju, aman lagi sejahtera.

Malangnya, seperti yang saya jangkakan, akan ada sahaja pihak yang tidak senang dengan usaha itu lalu dengan sengaja menimbulkan retorik perkauman.

Sehinggakan sebahagian orang bukan Melayu mula berasa terancam dan dipinggirkan. Akhirnya, niat murni kita menyatukan rakyat tidak kesampaian.

Malah, ia menyebabkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat menebal. Pada saya, keadaan itu amat menyedihkan.

Perjuangan

Saya masih percaya usaha dan perjuangan menyatukan orang Melayu mesti diteruskan.

Kepada para sahabat yang bukan Melayu usahlah gusar dan bimbang kerana orang Melayu tidak akan sesekali bersikap cauvenis apatah lagi mengorbankan keharmonian kaum.

Kebanyakan orang Melayu seperti saya percaya bahawa perpaduan kaum adalah asas kejayaan, keamanan dan kestabilan tanah air ini.

Saya pernah menyebut beberapa kali sebelum ini. Misalnya pada 8 Julai 2019: “Dalam kita menyatakan pendirian tentang perpaduan umat Melayu dan Islam, jangan kita takbur dan sombong. Kerana ada pihak yang sedang memerhati.

Negara kita ini rakyatnya berbilang bangsa dan agama. Jangan sesekali pinggirkan sentimen ini.”

Pada 15 Ogos 2019, saya juga menyebut: “Mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum amat penting buat masa ini. Saya tidak berniat menyalahkan sesiapa. Saya menulis sebagai rakyat Malaysia tetapi terdapat banyak kesilapan dilakukan oleh sesetengah pihak di luar sana.”

Saya menyebut kenyataan-kenyataan itu kerana saya tidak mahu Malaysia terus terperangkap dengan persekitaran penuh toksik. Lihat sahaja sejak setahun dua ini, betapa banyaknya pihak yang tanpa segan silu menyampaikan ucapan dan menyebarkan berita palsu untuk menyalakan api perkauman sehingga hubungan antara kaum di Malaysia semakin renggang dan terpisah.

Saya percaya rakyatlah mangsanya. Setiap pemimpin kerajaan dan pembangkang mesti bertanggungjawab serta berani mengakui kesilapan dan baiki kelemahan.

Ya, ia bukan tugas mudah namun kita tiada pilihan. Jika benar-benar sayangkan rakyat, maka kita perlu berusaha dengan ikhlas untuk mengubati hati mereka yang terluka akibat tindak-tanduk sesetengah pihak.

Pada masa yang sama, pihak tertentu juga mesti akui bahawa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), rakyat cukup terseksa akibat ekonomi negara yang amat membimbangkan. Harga sawit merudum, peluang pekerjaan terhad malah kuasa beli rakyat tidak meningkat.

Begitu juga dengan isu keselamatan negara, ancaman boleh hadir pada bila-bila masa.

Kepada para pemimpin, memang adakalanya kita terpaksa membuat keputusan tidak popular di mata rakyat tetapi selagi ia baik untuk menyatukan rakyat dan memajukan Malaysia, kita mesti lakukannya.

Kita perlu ingat, satu hari nanti negara ini perlu diwariskan kepada anak dan cucu cicit kita.

Justeru, usaha untuk menyatukan rakyat mesti diteruskan secara konsisten, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Orang Melayu yang sedar sudah pun memulakan langkah mereka.

Jadi, saya amat berharap langkah ini bukan sahaja diterima baik, malah diikuti semua orang tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan. Ingatlah wahai seluruh rakyat #MalaysiaDeservesBetter!

***Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ialah bekas Menteri Pertahanan