[VIDEO] Konvensyen Perpaduan Kedah pentas wujud persefahaman antara parti

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

ALOR SETAR - Konvensyen Perpaduan Kedah yang bakal diadakan pada Ahad ini di Alor Setar menjadi pentas untuk membentuk persefahaman pemimpin parti di semua peringkat dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, seramai 1,300 peserta dari 15 Parlimen di Kedah akan hadir dan perhimpunan tersebut bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, konvensyen itu juga sebagai persediaan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

"Persefahaman sudah ada dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH. Jadi kita nak pergi selangkah lagi ke hadapan sebab sekarang ini kita nak pergi kepada PRN yang paling kurang 60 hari lagi (dari sekarang).

"Jadi maknanya kita bergerak satu lagi langkah ke hadapan. Di antara BN dan PH bukan sahaja lapisan kepimpinan di atas (persefahaman sudah ada) tetapi juga sampai ke pelbagai peringkat hingga ke akar umbi dalam parti," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat di Bangunan Tunku, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ismail Salleh dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew.

Mahdzir (tengah) selepas sidang akhbar di Bangunan Tunku, Alor Setar pada Khamis.
Mahdzir (tengah) selepas sidang akhbar di Bangunan Tunku, Alor Setar pada Khamis.

Mahdzir yang juga Pengerusi UMNO Kedah berkata, pada konvensyen tersebut juga, peserta akan menyertai perbincangan meja bulat untuk membentuk persefahaman lebih baik.

Jelasnya, penerangan yang dibuat sebelum ini daripada semasa ke semasa telah membolehkan ramai orang semakin faham apa yang dikatakan tentang Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

"Macam kerjasama di antara BN dengan parti-parti dalam PH. Awalnya dia agak takut sikit, kekok. UMNO dipanggil parti Melayu, DAP dipanggil parti Cina jadi macam mana boleh kerjasama.

"Dahulu memang musuh sebab dua-dua bawah platform yang berlainan tapi bila sampai waktu sudah menjadi kerajaan dan bersama, saya tidak fikir kita ada masalah untuk mencari masalah.

"Kalau cari masalah banyak akan jadi masalah. Kalau kita cari kebaikan bersama saya fikir kita boleh tangani dan kita nak pergi kepada satu kerajaan stabil untuk rakyat melalui perpaduan," ujar Mahdzir lagi.

Tambahnya, perkara yang sama turut dilalui beliau sebagai seorang pemimpin, namun perkara tersebut semakin boleh diterima selepas wujud persefahaman dengan pemimpin politik parti lain.

"Saya pertama kali hadir satu program pentas Pas dulu, saya pun kekok, kemudian pertama kali saya hadir program PH dan saya mungkin nampak...perkataan geli.

"Tapi bila dah banyak kali hadir dan duduk mesyuarat, kita faham suasana, saya fikir bukan jadi satu perkara membebankan," jelasnya.