X

Kindly register in order to view this article
!

Tuntutan Melayu arus perdana

A
A

KONGRES Maruah Melayu telah berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 6 Oktober lepas anjuran beberapa universiti awam Malaysia.

Sehingga hari saya menulis rencana ini masih ramai yang bercakap mengenai kongres itu. Apa yang zahir ialah kongres itu telah menarik perhatian segenap perhatian rakyat sama ada orang Melayu ataupun bukan Melayu. Inilah sebenarnya kejayaan kongres itu iaitu membangkitkan isu yang selama ini menjadi kegusaran umat Melayu di Malaysia.

Terdapat lima pembentangan resolusi yang dibuat semasa kongres tersebut iaitu meliputi aspek budaya, pendidikan, ekonomi, agama dan politik. Setiap resolusi itu bagi saya padat dengan desakan tuntutan dan penzahiran kehendak orang Melayu arus perdana. Resolusi kluster agama telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadlhi Shaari. Resolusi yang dibentang penuh semangat itu mencakupi 16 tuntutan dan desakan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengutip kembali kesemua tuntutan dan desakan tersebut bagi tatapan pembaca ruangan ini iaitu:

1. Meminda Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan mengisytiharkan bahawa 'Islam bermazhab ahli Sunnah wal-Jamaah adalah doktrin dan kepercayaan bagi Persekutuan'.

2. Memasukkan Perkara 3(1A) dalam Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan bahawa 'Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah satu-satunya cara hidup bernegara dan semua polisi, undang-undang dan amalan hendaklah berasaskan kepada mazhab ahli Sunnah wal-Jamaah.'

3. Jawatan utama kepemimpinan negara dan negeri iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, serta kementerian penting hendaklah diterajui orang Melayu yang beragama Islam. Begitu jugalah jawatan penting lain seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan lain-lain jawatan strategik hendaklah digalas oleh orang Islam bermazhab ahli Sunnah wal-Jama’ah.

4. Menteri yang dilantik bagi menjaga hal ehwal agama Islam dan Ahli Mesyuarat Negeri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama bagi negeri hendaklah dalam kalangan orang Islam yang dihormati, berilmu dan menuruti fahaman ahli Sunnah wal-Jamaah.

5. Institusi Islam hendaklah diperkasa sehingga menjadi institusi yang cekap dan amanah serta dianggotai oleh orang Islam yang benar-benar layak serta dipantau oleh pemimpin Muslim yang dihormati dari kalangan alim ulama.

6. Memartabatkan Mahkamah Syariah dengan memasukkan penubuhan dan organisasi Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh semua negeri, mempunyai hierarki sama seperti Mahkamah Sivil dan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dari segi hukuman dan agama pihak-pihak.

7. Mendesak Suhakam, Majlis Peguam, NGO liberal dan badan lain tidak mencampuri urusan agama Islam.

8. Memastikan kepercayaan dan doktrin yang bertentangan dengan Islam termasuk liberalisme dan pluralisme agama serta sekularisme dan hedonisme disekat sepenuhnya daripada disebar kepada orang Islam.

9. Jakim hendaklah memperbetulkan konsep rahmatan lil alamin dan hifz ad din dengan mengambilkira pandangan ulama yang muktabar dalam kalangan ahli Sunnah wal jamaah.

10. Memperkukuh institusi fatwa di bawah naungan raja-raja menerusi Majlis Raja-Raja dengan memastikan para mufti serta Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri semuanya mencapai persetujuan.

11. Mengkaji semula dengan tujuan memperkasa pendidikan Islam pada semua peringkat.

12. Membenarkan anutan dan amalan agama lain dilakukan oleh orang bukan Islam selagi mana ia tidak menjejaskan aman dan harmoni kepada negara sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

13. Menyedari tentang kesyumulan Islam, kerajaan hendaklah memberi perhatian dalam memaju dan mengukuh kedudukan umat Islam bukan Melayu.

14. Memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai satu-satunya medium rasmi kerajaan serta menghapuskan istilah bahasa Malaysia dan kembali kepada penggunaan istilah bahasa Melayu. 15. Memperluaskan peranan masjid sebagai pusat ukhuwah umat Islam.

16. Membenarkan amalan perubatan Islam diberi tempat dan ruang di hospital kerajaan berdasarkan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) seperti mana rawatan tradisional dan komplementari yang lain.

Saya sangat berharap keseluruhan resolusi ini dapat direalisasikan selaras kehendak orang Melayu arus perdana.

***Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!