Siasatan kematian anggota Cawangan Khas perlu masa

A Thaiveegan
A Thaiveegan
A
A
A

GEORGETOWN- Polis masih menunggu laporan kimia dan bedah siasat berhubung kematian anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang mayatnya ditemui di hadapan sebuah hotel, 17 Disember lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, kedua-dua laporan itu perlu mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan kerana beberapa komplikasi.

Menurutnya, pihaknya percaya kedua-dua laporan itu akan siap dalam masa terdekat ini.

"Kita masih tunggu laporan kimia dan forensik untuk melengkapkan siasatan. Polis pun tidak boleh memaksa mereka untuk mempercepatkan laporan itu disiapkan.

"Ia mengambil masa yang agak panjang kerana beberapa komplikasi yang timbul. Apabila siasatan sudah lengkap, kita akan beritahu," katanya kepada media.

Beliau ditemui ketika Majlis Pelancaran Projek Pengecaman Wajah di Bilik Kawalan Kamera Litar Tertutup (CCTV) Majlis Bandaraya Pulau Pinang di Komtar tadi.

17 Disember lalu, Sofian Shahari, 47 ditemui maut oleh seorang pekerja hotel di sebuah pasaraya di Pulau Tikus dipercayai terjatuh dari bangunan tersebut.

Mangsa yang berpangkat koperal itu maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala, dada dan patah tangan kanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, mangsa dikatakan ke sebuah pusat hiburan di bangunan pasaraya berkenaan pada jam 12.30 tengah malam bagi menyambut hari jadi rakannya.

Bagaimanapun dia ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai terjatuh dari tingkat 4 bangunan berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, beg dan selipar sebelah kiri yang dipakai mangsa berada di tingkat 2 iaitu di hadapan sebuah klinik pergigian.

Sementara itu, di tingkat 4, terdapat kesan koyakan pada langsir di kaki lima pusat hiburan berkenaan dan dompet termasuk kad kuasa dan telefon bimbit mangsa hilang.

Susulan daripada itu, lima anggota polis yang ditahan berkaitan kes tersebut ditukarkan tugas serta merta ke Lokap Berpusat Bayan Baru kerana disahkan positif dadah.

Kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 40 dan 50 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan kerana semasa kejadian mereka berada di tempat yang sama dengan mangsa, dipercayai menghadiri satu majlis di situ.

Saringan awal ujian air kencing lima anggota polis berpangkat sarjan dan koperal yang ditahan itu positif dadah.