Kerajaan Perak usaha dapatkan bas elektrik

AHMAD FAIZAL
AHMAD FAIZAL
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan sebahagian daripada peruntukan RM450 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 untuk menyediakan bas elektrik sebagai pengangkutan awam di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penyediaan bas elektrik itu akan menjadi pelengkap kepada rancangan pembangunan kemudahan pengangkutan awam di Perak.

Menurutnya, projek menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS} membabitkan pelebaran landasannya juga akan turut akan menjadi pelengkap kepada Pembangunan Bersepadu Stesen Keretapi Ipoh sebagai hab pengangkutan melalui konsep pembangunan berorientasikan transit yang dilancarkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Khamis lalu.

"Kerajaan negeri juga ingin merakamkan ucapan penghargaan di atas perhatian khusus kepada negeri ini dalam Bajet 2020 khususnya keputusan untuk mempelawa cadangan Kerjasama Awam Swasta untuk projek menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.

"Keputusan ini akan merintis jalan kepada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang dan menarik penerbangan antarabangsa terus dari selatan India dan China, yang sekaligus akan membantu sektor pelancongan dan menjana pelaburan baharu di Perak," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, semua projek infrastruktur pengangkutan awam berkenaan bakal menjadi katalis dalam memacu pembangunan ekonomi negeri Perak dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri turut berterima kasih atas pengumuman pembinaan sebuah hospital baharu di Kampar.

Katanya, langkah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membina sebuah pusat rehabilitasi baharu dengan kos sebanyak RM500 juta di Perak amat dialu-alukan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri menghargai peruntukan RM20 juta yang disediakan dalam Belanjawan 2020 untuk melantik renjer hutan dalam kalangan askar yang telah bersara dan masyarakat orang asli setempat bagi melindungi flora dan fauna.

"Peruntukan RM5 juta bagi menyediakan perkhidmatan klinik bergerak untuk memudahkan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya orang asli amat baik.

"Pastinya inisiatif ini akan membantu usaha kerajaan negeri membela nasib lebih 65,000 populasi orang asli di negeri Perak," katanya.