Masih jumpa putung rokok di restoran

Dr Surinah (kanan), Taqiuddin (tengah) mengedarkan risalah larangan merokok di Arked Mara Pontian, hari ini.
Dr Surinah (kanan), Taqiuddin (tengah) mengedarkan risalah larangan merokok di Arked Mara Pontian, hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Putung rokok bersepah di sekitar kawasan sebuah restoran di Pusat Perdagangan Pontian antara yang dapat dilihat ketika pemeriksaan dijalankan penguat kuasa Pejabat Kesihatan daerah pada hari pertama larangan merokok dikuatkuasakan.

Pegawai Kesihatan daerah, Dr Surinah Asan berkata, ketiadaan bekas habuk rokok di restoran menjadi alasan kepada perokok untuk membuang putung rokok di tempat tidak sepatutnya.

“Perokok memberitahu mereka tidak hisap rokok di restoran tetapi di dalam kereta atau sebelum sampai ke restoran.

“Apabila sampai di restoran mereka buang putung rokok di situ. Ada yang marah pengusaha restoran sebab tidak sediakan tempat untuk mereka buang putung rokok,” katanya pada Pra-Pelancaran Pewartaan Tempat Makan Terbuka Sebagai Kawasan Larangan Merokok di Arked Mara di sini, hari ini.

Hadir sama, Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman, Pegawai Daerah , Zulkifly Mohd Tahir dan Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Nor Syazlan Abd Razak.

Menurutnya, pendekatan amaran lisan dan pendidikan digunakan bagi menjelaskan tentang pewartaan merokok sewaktu pemeriksaan berkenaan dijalankan.

“Sebanyak 209 kompaun dikeluarkan ke atas perokok yang merokok di tempat awam pada tahun 2017 dan sebanyak 255 kompaun pada tahun 2018.

“Nilai kompaun sebanyak RM100 dikenakan ke atas individu yang merokok di kawasan larangan seperti hospital, stesen pengangkutan awam, premis kerajaan dan lain-lain ketika itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Surinah berkata, seramai 28 anggota Pejabat Kesihatan daerah digerakkan bagi memantau 958 premis yang terlibat dengan kawasan merokok di daerah ini.

“Langkah yang diambil ini selari dengan pewartaan tempat makanan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11 peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

“Pemeriksaan bukan sahaja dijalankan di kawasan bandar tetapi juga di pekan-pekan kecil dan kampung-kampung. Bantuan pembesar suara digunakan bagi membuat hebahan tentang pewartaan larangan merokok di premis awam seperti restoran dan kedai makan,” katanya.