Sampai bila orang asli bertemankan lilin?

Kampung Hendrop masih tidak mempunyai bekalan elektrik.
Kampung Hendrop masih tidak mempunyai bekalan elektrik.
A
A
A

JIKA mahu bercerita mengenai kehidupan masyarakat orang asli terutamanya di daerah ini, Gua Musang, Kelantan terlalu banyak perkara yang akan dibangkitkan kerana mereka antara kelompok kaum yang jauh ketinggalan dimamah arus kemodenan.

Usah kata kecanggihan teknologi hari ini yang sedang kita dinikmati, banyak lagi nikmat kemudahan yang masih belum mereka kecapi.

Di saat negara mula teruja untuk menyaksikan kecanggihan kereta terbang di ambang 2020, kelompok ini masih memperjuangkan hak mereka dalam mendapatkan bekalan elektrik bagi menerangi malam di rimba.

Tidak dinafikan, ada sebahagian kawasan di pinggir bandar seperti Pos Brooke, Pos Kuala Betis dan Pos Mendrod, penduduknya telah menikmati bekalan elektrik sudah sekian lama.

Namun, mungkin terlepas pandang, satu kawasan di pinggir laluan utama Gua Musang - Lojing, Pos Hendrop masih tidak diberi peluang untuk mendapatkan kemudahan ini.

Penulis acap kali ke kampung ini kerana ketua kampungnya, Bidi Ronggeng, yang juga merupakan ketua masyarakat orang asli di Kelantan, sering mengajak menikmati jamuan di Masjid Al Hidayah, yang sering diimarahkan tidak kira masa.

Penempatan ini mempunyai 971 penduduk merangkumi 250 buah rumah yang terdiri daripada lapan kampung.

Kampung yang berada dibawah pentadbiran pos ini ialah Kampung Layer, Kampung Rek Rek, Kampung Palok, Kampung Sentok, Kampung Hendrop, Kampung Plug, Kampung Sedau dan Kampung Temarik.

Artikel Berkaitan:

Biarpun laluan sepanjang 20 kilometer dari Pos Hendrop ke Pos Tuel sudan diturap sejak awal tahun lalu, namun mereka memerlukan bekalan elektrik bagi meneruskan kelangsungan hidup yang lebih baik.

Sejak dahulu lagi, majoriti penduduk kampung ini bergantung kepada cahaya lilin dan pelita. Hanya segelintir sahaja yang berkemampuan membeli generator dengan harga sekitar RM400 hingga RM900.

Bagi generator yang mahal, ia boleh bertahan sehingga lebih setahun namun dalam masa sebulan, mereka memerlukan belanja RM200 untuk belian petrol.

Pos Hendrop merupakan salah satu pos penempatan masyarakat orang asli yang mempunyai bilangan penganut agama Islam paling ramai di daerah ini iaitu 80 peratus daripadanya beragama Islam.

Selain masjid, penempatan itu juga memiliki kemudahan sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop, bagi memastikan anak-anak orang asli di beberapa pos pedalaman sekitar dapat bersekolah.

Imam Masjid Al Hidayah Pos Hendrop, Aris Rami, 49, berkata, tahun demi tahun masalah bekalan elektrik masih belum menemui jalan penyelesaian.

Katanya, kesukaran itu berganda apabila tiba bulan Ramadan kerana dia perlu bangun seawal jam 3 pagi menghidupkan generator untuk program di masjid menyebabkan kos gunaan generator meningkat.

Bukan sahaja di masjid, malah sekolah dan kuarters guru juga memerlukan generator untuk kelangsungan harian.

Sesekali penulis terfikir, tabahnya guru-guru rimba yang berkhidmat di kawasan pedalaman yang berdepan pelbagai kekangan kemudahan.

Sewaktu meninjau kawasan rumah penduduk, penulis terpandang kipas di siling dan lampu dalam rumah binaan batu yang diberikan kerajaan menggantikan pondok dan bangsal mereka.

Pemilik rumah, Saodah Alang, 56, mencelah, 'Kipas lampu ada, tapi kipas tidak pernah bergerak, lampu tidak pernah menyala. Kami pandang sajalah bila tidur sampai mata pejam.'

Jawapannya buat penulis ketawa besar bersama Bidi. Mana tidaknya, untuk membeli enjin generator, mereka tidak mampu kerana tiada pendapatan tetap.

Saodah memberitahu, dalam tempoh sebulan, mereka memerlukan 20 kotak lilin yang dipasang pada waktu malam menelan kos RM150 sebulan.

"Sampai mati agaknya kami tidur dengan lilin dan pelita," kata suami Saodah, Itam Along, 60, sebelum penulis melangkah keluar dari rumahnya.

Hasil tinjauan penulis, lebih 50 buah rumah masih menggunakan lilin dan pelita kerana tidak mampu membeli generator.

* Akmaliah Razak ialah wartawan Sinar Harian Edisi Kelantan