Rambutan diperkenal di Washington

486386
A
A

WASHINGTON - Rambutan Malaysia yang diperkenalkan kepada lebih 250 tetamu ketika sambutan Hari Kebangsaan Malaysia di sini Rabu lalu bakal berada dalam pasaran Amerika mulai Julai tahun depan.

Duta Malaysia di Amerika Syarikat, Datuk Azmil Zabidi berkata, keputusan itu hasil mesyuarat dua hala ketika lawatan pegawai kanan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia ke Washington.

"Pasaran bagi produk pertanian dibincangkan semasa pertemuan itu dan kedua-dua negara bersetuju untuk terus memperluaskan akses pasaran bagi buah-buah tropika Malaysia, misalnya rambutan.

“Kami menjangkakan penghantaran pertama rambutan dari Malaysia pada Julai tahun depan. Malaysia mengimport produk pertanian bernilai lebih AS$1 bilion dari Amerika dan mengeksport hampir AS$1 bilion ke negara itu, ” kata Azmil yang dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika pada Jun lalu.

Terdahulu, Azmil dan isteri, Datin Karen Low menyambut kedatangan para tetamu sambil beramah mesra dengan mereka.

Turut hadir pada majlis itu ialah David Stilwell, Penolong Setiausaha, Biro Hal Ehwal Asia Timur & Pasifik, Jabatan Negara Amerika Syarikat dan Setiausaha Pertanian bagi Hal Ehwal Pertanian & Perdagangan, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat.

Sementara menurutnya, Amerika ialah pelabur asing kedua terbesar Malaysia dengan pelaburan dalam sektor pengeluaran berjumlah lebih AS$2.8 bilion hanya dalam separuh pertama tahun ini.

Azmil turut memberitahu tetamu bahawa pada November ini, Kementerian Pertahanan Malaysia dan Pentagon akan mengadakan Perbincangan Strategik Malaysia - Amerika di peringkat pegawai kanan di Kuala Lumpur.

“Platform dua hala tahunan ini amat berguna dalam membincangkan strategi dan dasar berkaitan isu pertahanan serta keselamatan.

"Pasukan polis dan agensi penguatkuasaan undang-undang negara juga menjalin kerjasama akrab, termasuk dalam perkongsian risikan, memerangi keganasan, keselamatan siber dan jenayah rentas sempadan,” katanya. - Bernama