Undang-undang mansuh hukuman mati mandatori akan dibentang Mac 2020

Dewan Rakyat - FOTO BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka akan dikemukakan di Dewan Rakyat pada bulan Mac 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Liew berkata, dapatan dan laporan kajian Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori dijangka hanya selesai dalam tempoh tiga bulan (menjelang akhir tahun 2019).

"Pada Ogos lepas, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada sembilan pakar untuk mengkaji dan menjalankan kajian komprehensif mengenai dasar hukuman secara keseluruhan dan hukuman gantian untuk hukuman mati mandatori.

"Selain itu ia juga akan mengkaji kesesuaian budi bicara mahkamah dalam mengenakan hukuman serta mengambil kira konsep keadilan 'restorative', implikasi dan kebajikan terhadap mangsa perlakuan jenayah, serta mengemukakan syor penalti yang bersesuaian dan setimpal dengan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Vui Keong berkata, jawatankuasa khas yang telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 20 September lepas itu akan menjalankan semakan undang-undang secara holistik dan bebas serta mengambil kira pandangan teori serta praktikal pakar-pakar berkenaan.

Jawatankuasa khas ini juga berperanan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan untuk mendengar pandangan mereka.

Vui Keong berkata, terdapat 33 kesalahan di bawah akta sedia ada yang membawa hukuman mati dengan 11 daripadanya adalah mandatori.

Beliau berkata, bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, sembilan daripadanya adalah jenis kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua lagi di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. - Bernama