Pak guard didakwa lakukan amang seksual pada 3 murid sekolah

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan sekolah rendah didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan tiga pertuduhan menunjukkan visual bersifat seksual kepada tiga murid perempuan berusia 8 dan 9 tahun.

Mohd Sulaiman Balakrishnan Abdullah, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin, Hakim Norhazani Hamzah dan Hakim Azrul Darus.

Bagi pertuduhan amang seksual fizikal, Mohd Sulaiman Balakrishnan didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut di sebuah pondok pengawal keselamatan dan surau di sebuah sekolah rendah di Ampang di sini antara Januari dan September 2019.

Dia juga dituduh melakukan tiga kesalahan menunjukkan visual bersifat seksual di pondok pengawal sama Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat dan Seksyen 15 (e) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Reen, Raihanah Abdul Razak dan Norhashimah Hashim masing-masing tidak menawarkan sebarang wang jaminan dengan alasan kes tersebut adalah serius dan tidak boleh dijamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah.

Ketiga-tiga Mahkamah Sesyen tidak menetapkan sebarang ikat jamin manakala 11 November ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. - Bernama