Amang seksual, persetubuhan luar tabii: Warga Singapura didakwa lagi

Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin. - Gambar fail Awani
Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin. - Gambar fail Awani
A
A
A

ALOR GAJAH - Pengasas sebuah pusat tahfiz warga Singapura didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas tiga pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelajar lelaki, sejak dua bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun itu di bilik rumah guru di sebuah pusat tahfiz di Melaka pada pukul 3 petang, Mac lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama di tempat, masa dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377c Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Tertuduh yang beristeri dua turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa sama di dalam bilik rumah guru di sebuah pusat tahfiz di Alor Gajah, Melaka pada pukul 1.30 pagi, 28 April lalu.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan sebat di bawah Seksyen 377e Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari manakala tertuduh diwakili peguam Faathir Imran Firdaus.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 26 Jjun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Rabu lalu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas lima pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya, sejak tahun lalu. - Awani